Friday, July 21

DARI HATI: Hebat ke Restu / Doa Ibu Bapa? (Bahagian 3)

Assalamualaikum semua :)

Hari ni nia akan sambung cerita mengenai kehebatan restu atau doa ibu bapa untuk bahagian yang terkahir iaitu bahagian ketiga. Kalau ada diantara kau orang yang terlepas membaca bahagian satu dan bahagian dua, bolehlah klik link yang telah nia sediakan di bawah ini.


Bahagian 3 – Diploma in TESL vs Diploma in Electrical Engineering

Sejak dari kecil lagi, nia memang bercita – cita untuk menjadi seorang jurutera dan sewaktu nia nak membuat permohonan melanjutkan pelajaran di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) dalam jurusan Diploma in Electrical Engineering, abah memberikan lampu hijau.

Lagipun, abah memang mahukan nia menjadi seorang jurutera elektrikal. Senang nak cari kerja memandangkan abah sendiri pun bekerja dalam bidang kejuruteraan. Busuk – busuk pun abah boleh tolong rekomen dekat bos abah.

Jadi, nia pun mohonlah dekat KUIM. Bila ibu dapat tahu nia mohon dekat KUIM, ibu tak setuju sebab tempat tu jauh daripada rumah. Susah kalau nia nak berulang – alik setiap minggu. Masa ni, ibu dah jatuh sakit dan sudahpun masuk ke hospital. Jadi, abah dan nia kena berganti – ganti untuk menjaga ibu di hospital.

Bila ibu dah tak setuju tu, nia pun carilah kursus diploma lain dekat kolej – kolej yang berhampiran dengan rumah. Cari punya cari, terjumpa pulak dengan laman web KUPTM. Nia tinjau – tinjau kursus yang ditawarkan dan nia membuat keputusan untuk memohon jurusan Diploma in Teaching English as a Second Language (TESL).

Ibu memang setuju habislah nia mohon dekat KUPTM tu sebab memang dekat sangat dengan rumah nia. Tambahan pula, kakak sepupu nia pun belajar kat situ jugak. Senang. Kalau ada apa – apa hal, boleh minta tolong dengan kakak sepupu nia tu.

Nak dijadikan cerita, surat tawaran KUPTM sampai dulu. Tarikh mendaftar masuk ialah seminggu kemudian tu. Disebabkan surat tawaran daripada KUPTM sampai dulu, nia pun terima je tawaran tu. Sangkaan nia, tak dapat tawaran daripada KUIM sebab kelulusan tak mencukupi.

Tup tup, seminggu lepas masuk KUPTM datang pulak surat daripada KUIM suruh mendaftar masuk pada minggu berikutnya. Memang nia tolak jelah tawaran KUIM tu sebab yuran pendaftaran semua nia dah bayar dan nia sudahpun memohon pinjaman biasiswa MARA.

Nampak tak kehebatan restu ibu bapa dalam setiap pilihan yang kita buat? Kalau apa yang kita pilih tu tak mendapat restu mereka, buatlah apa sekalipun tetap tak menjadi. Harap – harapnya dengan perkongsian pengalaman nia ni akan menjadi satu pelajaran berguna untuk kau orang semua mengetahui tentang kehebatan restu ataupun doa ibu bapa.


Semoga kita bertemu kembali sebagai keluarga di akhirat sana, amiin,

Friday, July 14

DRAMA: Romantic Doctor, Teacher Kim

Assalamualaikum semua :)

Setelah dua minggu menghadap cerita ini, akhirnya dapat jugak nia menghabiskan drama Romantic Doctor Teacher Kim ni.

Romantic Doctor Teacher Kim ini mengisahkan Dr Kang Dong Joo yang mempunyai prinsip untuk menyelamatkan pesakit yang sampai di hospital terlebih dahulu dibuli oleh Dr Yoon Seo Jung yang berpendapat pesakit yang berkeadaan kritikal patut diberikan rawatan dahulu.



Meskipun Dr Yoon Seo Jung selalu membuli Dr Kang Dong Joo tetapi itu tidak bermakna Dr Yoon memandang rendah serta tidak mengiktiraf kelebihan Dr Kang. Sungguhpun Dr Kang sering berasa tidak puas hati kerana Dr Yoon selalu membuli dirinya tetapi itu tidak menjadi satu alasan untuk dia berhenti daripada menyanjungi Dr Yoon seterusnya jatuh cinta kepada Dr Yoon.

Dr Kang mula jatuh hati pada Dr Yoon ketika dia ternampak Dr Yoon yang bersungguh – sungguh menyelamatkan pesakit tanpa menghiraukan keadaan dirinya. Sejak dari itu, Dr Kang sering memerhatikan Dr Yoon. Dr Kang memberitahu Dr Yoon tentang isi hatinya tetapi ditolak oleh Dr Yoon yang ketika itu sedang bercinta dengan orang lain. Dr Yoon terlibat dalam kemalangan jalanraya selepas dilamar oleh kekasihnya. Akibat daripada kemalangan tersebut, kekasih Dr Yoon meninggal dunia dan Dr Yoon pula hilang daripada Hospital Geodae selama lima tahun.

Selepas lima tahun, Dr Kang telah dipindahkan dari Hospital Geodae ke Hospital Doldam kerana telah menyebabkan kematian seorang pesakit yang dibedahnya. Di Hospital Doldam, dia bertemu kembali dengan Dr Yoon yang sedang berhadapan dengan PTSD dan sering mengalami episode ataupun halusinasi.

Semakin hari keadaannya semakin teruk sehingga memaksa Dr Yoon mengelar tangannya untuk menghilangkan episode serta halusinasi tersebut. Sebagai seorang pakar bedah, tindakan Dr Yoon mengelar tangannya dianggap satu tindakan yang boleh memusnahkan kerjayanya sebagai seorang pakar bedah. Sebelum tangan Dr Yoon betul – betul sembuh, dia telah diarahkan oleh Mr Kim atau turut dikenali sebagai Dr Boo Yong Joo untuk menjadi ‘orderly’.



Drama ini sangat sarat dengan politik antara dua buah hospital iaitu Hospital Geodae yang terletak di bandar dan Hospital Doldam yang terletak di luar bandar. Tapi apa yang nia suka dengan drama ni sudah tentulah babak – babak dimana para doktor melakukan pembedahan dan bagaimana mereka mengawal keadaan dalam bilik bedah sekiranya berlaku kecemasan. Itu merupakan salah satu thrill menonton drama medikal.

Kepada mereka yang tengah mencari drama medikal yang sedap ditonton dan tak banyak adegan romantik, nia sarankan kau orang tengok drama ni. Tak rugi punya!

Jumlah episod: 21

Rating: 4.8 / 5

Sumber gambar: google.com

Monday, July 10

DARI HATI: Kahwin

Assalamualaikum semua :)

Sejak nia dah bekerja ni, ramai yang bertanya bila lagi nia nak mendirikan rumah tangga. Tambahan pula along baru sahaja mengikat tali pertunangan dengan bakal suami dia baru – baru ni, lagi – lagilah orang bertanya.

Di sini, nia akan masukkan beberapa soalan paling popular (ecececeh!) berkaitan perkahwinan yang pernah dilontarkan kepada nia.

1 – Bila nak kahwin?

Bila nia dah betul – betul bersedia untuk kahwin, nia akan kahwin. Kahwin ni bukannya semata – mata untuk menghalalkan hubungan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan semata. Bukan juga untuk mendapatkan zuriat dan meneruskan keturunan sahaja. Tetapi perkahwinan ini lebih daripada itu semua.

Kena belajar toleransi, kena tahu sabar, kena faham erti susah senang bersama, kena terima hakikat kita akan berpisah dengan pasangan, kena tanam sifat tabah menghadapi dugaan, kena saling bantu – membantu dan paling penting kena sentiasa menjaga hati pasangan.

So yes, whenever I’m ready to get married, I will get married.

2 – Tak nak kahwin ke?

Eh, mestilah nak. Lagipun berkahwin itu merupakan salah satu daripada sunnah Rasulullah saw. Apatah lagi bila nia dengar abah ceritakan pengalaman menjaga anak seorang demi seorang terasa seronok pulak.

Nia nak jugak merasai pengalaman kena ikat perut dan tahan nafsu daripada membeli barang – barang untuk memenuhi kehendak sebab keperluan anak – anak mesti didahulukan. Nia juga nak melalui sendiri fasa jatuh bangun sepasang suami isteri daripada kemelut kewangan, persengketaan akibat salah faham ataupun orang ketiga dan sebagainya.

Paling utama, nia nak berjalan di atas konsep susah senang tetap bersama dan merasai sendiri macam mana yang diertikan dengan susah senang tetap bersama tu.

3 – Calon dah ada?

Buat masa ni, belum ada lagi. Lagipun nia sendiri tidak mencari sebab belum betul – betul bersedia untuk melangkahkan kaki ke alam perkahwinan lagi. Lagipun tak elok bagi harapan palsu kat orang lain sedangkan kita sendiri belum bersedia dan belum ada kemampuan untuk berumah tangga. Daripada memberi harapan palsu, eloklah suruh dia cari orang lain yang betul – betul nak berumah tangga.

4 – Majlis nikah dan resepsi yang diinginkan.

Tak nak paluan kompang.
Tak nak pelamin.
Tak nak bunga manggar.
Tak nak bridemaids ataupun flower girl.
Tak nak muzik dangdut, dondang sayang apa bagai yang kuat – kuat dan membingitkan telinga. Cukup sekadar lagu – lagu nasyid ataupun instrumental sahaja.

Sekiranya boleh, pasangan pengantin yang berjemur tengah panas untuk menyambut tetamu dan bukannya ibu bapa ataupun saudara mara pengantin.

Untuk ambil gambar, cukuplah photo booth dan props semata – mata.

5 – Ciri – ciri bakal suami.

Cukuplah sekadar dia menghormati kedua orang tua, menyayangi yang lebih muda dan mampu untuk membimbing nia ke jalan yang lurus.

Hal yang lain tu bagi nia tak penting sangat.


Jadi, ada yang nak masuk meminang nia tak? HAHA.

Tinggal kenangan, arwah ibu dan abah main sorok - sorok

Tinggal kenangan, gambar terakhir arwah ibu dan abah

Friday, July 7

DRAMA: Princess Man

Assalamualaikum semua :)

Nia baru sahaja menghabiskan drama korea yang bertajuk ‘Princess Man’ lakonan Park Si Hoo dan Moon Chae Won.

Drama ini mengisahkan seorang perempuan bernama Lee Se Ryeong yang menyamar sebagai tuan puteri untuk bertemu dengan bakal tunangnya iaitu Kim Seung Yoo. Se Ryeong nekad untuk menyamar sebagai tuan puteri kerana dia mahu tengok sendiri rupa paras Kim Seung Yoo dan kelakuan bakal tunangnya itu.


Malangnya, pertemuan pertama mereka tidaklah seindah mana apabila Kim Seung Yoo menuduh Se Ryeong mahu menggoda dirinya dengan memperlihatkan betis secara sengaja. Namun apa yang Seung Yoo tidak tahu adalah kaki gadis itu bengkak akibat terjatuh daripada kuda yang ditunggangnya. Bengang dituduh mahu menggoda Seung Yoo, terus sahaja Se Ryeong memulangkan paku buah keras dengan menyindir lelaki itu tidak tahu menjaga nama baik keluarga kerana keluar berjalan – jalan dengan kesan gincu di lehernya.

Walaupun pertemuan pertama mereka tidak begitu cantik tetapi itu merupakan detik paling manis bagi mereka berdua kerana pada pertemuan inilah hati masing – masing sudah terpikat antara satu sama lain. Namun begitu, mereka berdua tidak menyedari hakikat bahawa keluarga mereka merupakan musuh tradisi dan tidak pernah lepas daripada ugutan bunuh dan rancangan untuk menjatuh sesama sendiri.

Drama ini boleh dikategorikan sebagai kisah Romeo dan Juliet versi Korea. Konflik dan halangan yang terpaksa ditempuhi oleh Se Ryeong dan juga Seung Yoo dalam percintaan mereka terlalu banyak dan sangat memilukan hati. Setiap kali tengok drama ni, tak sah kalau nia tak menangis sampai basah bantal jadinya.

TSK TSK.

Daripada Se Ryeong tersepit antara ayahnya dengan Seung Yoo kepada hampir berkahwin dengan Shin Myeon sebab ingatkan Seung Yoo dah mati kepada diculik oleh Seung Yoo untuk dijadikan tebusan kepada dipaksa menjadi orang gaji Shin Myeon kerana mahu menyelamatkan Seung Yoo.

Banyak lagilah konflik dan halangan dalam percintaan mereka berdua ni.


Antara konflik yang selalu membuatkan hati nia jadi pedih bagai ditusuk sembilu ialah apabila Se Ryeong terpaksa memilih antara menyelamatkan ayahnya ataupun Seung Yoo. Sungguhpun ayah Se Ryeong kejam dan banyak membunuh orang yang tidak bersalah tapi itu tak bermakna Se Ryeong membenci ayah dia. Teruk macam mana pun, itu tetap ayah kandung dia yang selalu melindungi dirinya dan selalu memanjakan dia sejak dari kecil lagi.

Di bawah ini adalah dialog antara Seung Yoo dan Se Ryeong ketika Se Ryeong berjumpa dengan Seung Yoo di kediaman Puteri Gyeong Hye selepas mendapat tahu rancangan Seung Yoo untuk membunuh ayahnya.

“Kau tetap nak bersedih atas kehilangan dia walaupun telah banyak benda kejam yang dia lakukan?”
“Aku tak minta untuk dapat ayah seperti dia yang selalu mengorbankan nyawa orang – orang tidak bersalah. Aku ingatkan bila dah memutuskan hubungan dengan dia, aku takkan ambil peduli lagi pasal dia. Tetapi apabila aku dapat tahu aku takkan dapat menatap muka dia lagi, aku jadi sedih. Dia tetap ayah aku.”

Dialog ni bukannya nia tulis ikut sebiji – sebiji dalam drama tu, ni main sikit – lebih – kurang – halal – je. HAHA Tak ingat sangat dialog dalam drama tu macam mana dan nia malas nak buka episod satu demi satu semata – mata nak mencari sebaris dua dialog tu. HUH! Tak kuasa.


Apa – apa pun, nia sangat berpuas hati dengan kesudahan drama ni. Nak tahu apa yang terjadi kepada pasangan kekasih Lee Se Ryeong dan Kim Seung Yoo? Sila tengok drama ni sampai ke episod terakhir.

Jumlah episod: 24
Rating: 4.8 / 5

Sumber gambar: google.com

Monday, July 3

DARI HATI: Hebat ke Restu / Doa Ibu Bapa? (Bahagian 2)

Assalamualaikum semua :)

Hari ni nia nak sambung cerita mengenai kehebatan restu atau doa ibu bapa. Buat mereka yang terlepas membaca coretan nia di bahagian 1, kau orang boleh klik link di bawah ni untuk ketahui ceritanya.


Bahagian 2 – Kerja Lepas SPM

Sebaik sahaja tamat peperiksaan SPM, nia pun memulakan misi mencari kerja. Kebanyakkan kerja yang nia minta adalah juruwang di pasaraya sebab nia tahu kalau minta kerja lain mesti dia orang nakkan kelayakan yang lagi tinggi dan pengalaman yang banyak. Fresh graduate of high schools are big no for them.

Sudah menjadi kelaziman, nia mesti akan tanya pendapat ibu dan abah tentang tempat kerja yang nia pohon. Nia ada mohon dekat dua tempat, satu berhampiran dengan rumah nia dan satu lagi agak jauh daripada rumah. Bila nia bagitahu ibu, terus sahaja ibu suruh pilih tempat kerja yang berdekatan dengan rumah. Senang nak ulang alik dan keselamatan terjaga, kata ibu.

Tapi nia tak nak, sebab gaji yang ditawarkan di situ tidak sebanyak gaji yang yang ditawarkan oleh tempat yang satu lagi tu. Sebab tempat tu jauh daripada rumah, orang tu setuju untuk bagi elaun kenderaan dan juga elaun makanan. Jadinya, jumlah gaji dekat tempat tu lagi tinggi berbanding dengan pasaraya yang berhampiran dengan rumah nia ni.

Orang tu cakap dia akan panggil nia masuk kerja dalam dua tiga hari lepas temuduga. Tapi dah lepas seminggu pun masih lagi takde orang telefon mengatakan bahawa nia telah diterima untuk bekerja. Nia ingatkan nia tak dapat tawaran bekerja kat situ jadi nia pun terima tawaran bekerja dekat pasaraya berhampiran rumah nia.

Lepas tiga hari bekerja, surat tawaran daripada pasaraya yang lagi satu tu sampai kat rumah. Memang nia tolaklah tawaran dia orang sebab nia sudahpun mula bekerja.

Bila nia fikir – fikir balik sekarang ni semua benda yang ibu larang atau tak bagi buat, sekiranya nia buat jugak pasti tidak menjadi dan hasilnya akan menghampakan. Contohnya macam mencari kerja nilah. Ibu tak setuju nia kerja dekat tempat yang jauh tapi nia tetap nak kerja kat situ sebab gaji besar. Tapi tak dapat sebab surat tawaran sampai lambat.

Hebat ke hebat restu ibu bapa?

Jadi pastikan lepas ni sebelum kau orang nak buat apa – apa ataupun nak pilih apa – apa, kau orang minta restu daripada ibu bapa kau orang. Minta sekali mereka doakan kau orang agar berjaya dalam hidup dan mampu menghadapi apa jua rintangan dan cabaran yang mendatang.

Okey, sampai sini dulu untuk bahagian kedua. Bahagian ketiga nia akan sambung kemudian ye.



Thank you for the food!, say Abah.

Ping Banner

 
Copyright © 2019 Nia Emkay. All Rights Reserved. Designed by Cik Nurfarah.