DARI HATI: Pembantu Rumah Buat Perangai

Assalamualaikum semua :)

Baru – baru ni pengetua tadika nia ada upah seorang pembantu rumah untuk membersihkan tadika disebabkan ramai pelajar yang terkena virus daripada makanan. Akibatnya ramai yang cirit – birit, demam panas dan muntah – muntah. Untuk mengelakkan perkara yang sama daripada berulang kembali, pengetua tadika nia pun mengupah seorang pembantu rumah untuk melakukan kerja – kerja pembersihan di tadika.

Pembantu rumah ni diambil daripada sebuah agensi yang menawarkan perkhidmatan untuk membersihkan rumah dan juga pejabat. Jadi, mestilah pekerja – pekerja mereka telah dilatih untuk melakukan kerja – kerja pembersihan kan? Tetapi apa yang nia alami cukup untuk membuktikan bahawa mereka tidak diberikan latihan yang cukup.


Dia datang pukul tiga setengah petang walaupun masa yang dijanjikan adalah pada pukul dua setengah. Satu jam dia lambat. Tapi pengetua nia cakap takpe dia datang lambat pun sebab dia bekerja ikut jam. Jadi walaupun dah kata nak datang pukul dua setengah tapi satu jam kemudian baru nampak batang hidung, waktu bekerja dia akan dikira pada pukul tiga setengah tu. Dan bukannya pukul dua setengah.

Jadi nia pun diam jelah, takde cakap apa – apa lagi. Nia bagitahu dia perlu bersihkan kawasan dapur, dewan utama, dewan luar, tapak permainan, bilik air bahagian atas dan bawah, bilik sembahyang dengan semua kelas tingkat atas. Jadi dia pun buatlah kerja – kerja membersihkan tadika. Dalam pukul lima macam tu, dia cakap kerja dia semua dah selesai. Nia pun pergilah periksa semua kawasan yang nia suruh dia bersihkan tadi. Takut ada yang tertinggal ke apa.

Tapi kau orang tahu apa yang nia nampak?

Kabinet yang nia suruh kemaskan, langsung tak berkemas. Macam mana botol – botol tergolek dari mula nia tunjuk dia kat tempat mana nak bersihkan, macam tu jugaklah keadaannya bila nia periksa. Tingkap dapur langsung tak berlap. Boleh nampak tompok – tompok minyak kat cermin.


Habuk atas tempat air Coway pun masih menggunung. Bila nia calit dengan jari, tebal dia mengalahkan make – up. Sampah berlambak dalam tong sampah, dia tak buangkan. Bilik air pun tak bersih dia cuci. Menyental bukan main lagi nia dengar bunyi scrap scrap tapi rambut bergumpal atas lubang tandas tak angkat buang pun. Dinding tandas pun kuning je.

Gril pintu dewan pun tak lap betul – betul walaupun nia dah ingatkan banyak kali. Kipas satu biji pun dia tak bersihkan dengan alasan tangga takde. Padahal nia dah bagitahu awal – awal, tangga ada kat luar. Malas nak angkat tangga bawak masuklah tu. Kelas pulak setakat sapu dengan mop je. Barang – barang dengan mainan yang bersepah, dia biarkan macam tu sahaja.

Tak puas hati dengan kerja dia, nia suruh dia buat balik semua kerja – kerja pembersihan yang dia tak buat ataupun lupa nak buat tu. Rugi kot, upah pembantu untuk bersihkan tadika tapi hasilnya sangat menghampakan. Masa nia bagitahu kerja apa yang dia kena buat balik, dia mengangguk – angguk faham lepas tu terus pergi buat kerja balik. Dalam pukul lima setengah macam tu, dia cakap kerja dia dah selesai.

Aik? Cepatnya buat kerja.


Nia pergi periksa balik. Hmm, sama je keadaannya seperti tadi. Takde perubahan apa – apa langsung. Malas nak cakap banyak. Nia cakap dengan dia, ‘okey, kerja awak dah habis.’ Dia bagi resit bayaran upah dia. Nia tengok kat resit tu dia tulis waktu kerja habis pukul 7.20 malam. Tapi ini baru pukul lima setengah dah habis. Kiranya bayar sikit jelah sebab dia bukannya ada kerja nak buat lagi dah.

Nia cakap dengan dia nia akan bayar upah sampai pukul lima setengah je sebab dia dah takde kerja nak buat dan sibuk nak balik. Tapi dia cakap tak boleh sebab dalam resit dah tulis jumlah yang patut nia bayar. Angin terus nia masa tu!

Terus nia buka mulut marah dia, ‘siapa suruh tulis resit siap – siap? Patutnya lepas buat kerja baru tulis resit, bukannya sebelum buat kerja! Dahlah awak buat kerja tak bersih, banyak tempat yang awak tak kemaskan, lepas tu demand nak bayaran banyak.

Dia diam je, takde jawab apa. Nia telefon pengetua tanya nak buat macam mana, lepas tu pengetua cakap bayar je jumlah yang dia tulis tu. Kemudian baru buat aduan dengan pengurus dia. Sakit pulak hati bila dapat pembantu rumah macam ni. Buat kerja tak seberapa tapi nak upah lebih – lebih.

Bila dah buat aduan dengan pengurus dia tu, esoknya dia datang lagi bersihkan tadika tapi kali ni lagi teruk perangai dia. Sambil buat kerja dia bergayut dekat telefon bukan main lama lagi. Walaupun kita orang cikgu – cikgu ada kat situ perhatikan tingkah laku dia, boleh pulak dia buat tak reti je.

Kalau dah buat kerja sambil bergayut dengan telefon, memang takkan bersihlah jawabnya dia kemas tadika tu. Pengurus dia pun satu. Bila kita orang dah buat aduan pasal pembantu rumah punya prestasi kerja, janganlah hantar orang yang sama lagi untuk bersihkan tadika. Ini tidak, dihantarnya orang yang sama. Memang takkan selesailah masalah jawabnya.


Yang mengejutkan kita orang ialah dia bagi resit bayaran selepas habis buat kerja – kerja pembersihan. Kita orang ingatkan dia datang hari tu untuk tebus balik kerja – kerja yang tak siap dengan sempurna semalam. Rupanya dia datang hari tu untuk kemaskan tadika dengan upah bukannya untuk tebus balik kerja dia semalam.

Pengurus dia pun satu, kenapa tak bagitahu awal – awal yang dia datang untuk tugasan kerja yang baru? Kalau kita orang tahu, takdelah kita orang nak ambil dia untuk bersihkan tadika lagi. Baik ambil orang lain sebab dah tahu prestasi kerja dia macam mana.

Memang itu kali terakhirlah pengetua tadika ambil agensi tu untuk melakukan kerja – kerja pembersihan. Serik dah kena tipu dengan pembantu rumah dan pengurus dia. Kau orang pernah mengalami situasi yang sama jugak ke? Cuba kongsi dengan nia pengalaman kau orang tu.

Sumber gambar: google.com

No comments:

Post a Comment

satu komen daripada anda membuatkan saya senyum lebar :)