Friday, October 8

FAMILY: Travelog Ibuku Sayang – Semakin Teruk

Assalamualaikum semua :)

Nia akan kongsikan sambungan cerita dalam Travelog Ibuku Sayang yang seterusnya dengan kau orang semua. Minta maaf sangat – sangat sebab nia ambil masa yang lama untuk menyiapkan travelog ini.


Ketika bulan enam, nia mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran di Kolej Poly Tech Mara Kuala Lumpur. Mereka tawarkan Diploma in Teaching English as a Second Language (TESL). Nia teruja sangat apabila dapat tawaran tersebut sebab yelah, kawan – kawan lain semua dah masuk matrikulasi dan universiti untuk menyambung pelajaran masing – masing. Nia sahaja yang masih tercari – cari peluang untuk sambung belajar.

Tetapi dalam masa yang sama nia risaukan ibu.

Mulanya nia ingat nak tolak sahaja tawaran tersebut sebab ibu masih warded ketika itu dan keadaan ibu masih lagi tidak menunjukkan sebarang perubahan positif tetapi abah halang nia. Abah kata dah dapat tawaran sambung belajar tu, terima sahaja. Jangan fikirkan tentang ibu. Biar abah yang jaga ibu.

Jadi nia pun bulatkan tekad untuk menyambung pelajaran di KPTMKL. Dalam surat tawaran tersebut dia orang bagitahu nia diberikan pilihan samada mahu tinggal di asrama yang mereka sediakan ataupun mahu menyewa diluar. Perancangan nia mahu tinggal dirumah sahaja sebab jarak antara rumah dengan kolej sangat dekat. Kalau menunggang motosikal, hanya mengambil masa sepuluh minit sahaja untuk sampai.

Tapi ibu halang.

Ibu kata, ambillah kesempatan ini untuk merasai pengalaman duduk di asrama sebab nia daripada sekolah rendah sehingga mahu masuk ke kolej tidak pernah dapat merasai pengalaman tersebut. Berbeza dengan along dan juga adik. Masing – masing berpeluang duduk di asrama semasa masih berada di sekolah menengah.

Walaupun berat hati mahu tinggal di asrama tetapi nia turutkan sahaja kata – kata ibu. Nia teliti senarai keperluan barang yang diberikan berulang kali. Disebabkan ini merupakan kali pertama nia perlu tinggal di asrama, nia jadi buntu memikirkan barang apa yang perlu dibawa. Mujur ada along yang turut sama menolong.

Tiba masanya untuk daftar masuk kolej.

Bila nia menjejakkan kaki ke kawasan perkarangan kolej, terasa lain sangat. Kebiasaannya ada ibu dan abah disisi nia tetapi pada hari tersebut nia berseorangan sahaja. Terngiang – ngiang di pendengaran nia suara ibu memarahi nia sebab takut nak membuat urusan sendiri.

“Sampai bila nak bergantung dengan ibu ni, angah?”

Nah, hari ini nia terpaksa membuat semuanya sendiri tanpa bantuan ibu mahupun abah. Sebak dada bila melihat orang lain ditemani ibubapa tetapi nia sendirian sahaja di situ. Tapi nia kuatkan semangat. Cukuplah selama ini bergantung dengan ibu dan abah, untuk sehari ini cuba belajar jadi berani.

Selesai urusan pendaftaran masuk kolej serta asrama, kami sekeluarga keluar makan bersama – sama di pizza hut. Meraikan nia masuk kolej sambil meluangkan masa bersama – sama. Sewaktu orang lain menjamah makanan dengan penuh selera, ibu hanya memerhati dan hanya sesekali sahaja ibu menyuap makanan ke dalam mulut. Tak ada selera, kata ibu.

Sewaktu mahu pulang, tiba – tiba sahaja ibu terjatuh di tangga pizza hut. Mujur ada abah dan adik yang segera menahan badan ibu daripada terjatuh. Kalau tidak, mungkin ada bahagian badan lain yang bakal cedera.

Sebulan kemudian, kesihatan ibu semakin merosot. Ibu hanya terbaring di atas katil, langsung tidak mampu untuk bangun apatah lagi berjalan. Sepanjang waktu itu, abah yang menjaga ibu sepenuh masa dengan mengambil cuti tanpa gaji.

Mahu mengharapkan kami adik – beradik, tidak boleh. Along belajar di perak. Nia di KPTM. Adik pula di smk segambut jaya. Masing – masing hanya boleh datang menjenguk ibu di hospital semasa hujung minggu sahaja. Masa itu jugalah kami akan mengambil alih tugas abah untuk menjaga ibu. Bolehlah abah berehat dan membersihkan diri.

Tetapi itupun ibu kata tak payah datang jenguk. Rehat sahaja di rumah. Masing – masing penat belajar. Ibu kan? Dalam keadaan yang sedang sakit pun, masih lagi memikirkan anak – anaknya.

Sampai sini sahaja untuk bahagian kali ini. Kisah seterusnya nia akan sambung kemudian yee.

Nia nak minta tolong kau orang semua hadiahkan bacaan alfatihah kepada arwah ibu, Saniah binti Sani.


Terima kasih sudi hadiahkan bacaan alfatihah pada ibu nia :)

Terlepas bahagian yang lepas? ADA DEKAT SINI

Sumber gambar: google.com

No comments:

Post a Comment

satu komen daripada anda membuatkan saya senyum lebar :)

Ping Banner

 
Copyright © 2019 Nia Emkay. All Rights Reserved. Designed by Cik Nurfarah.