Friday, July 26

PARENTING: Anak Ada Tabiat Buruk, Macam Mana Nak Hilangkannya?


Assalamualaikum semua :)

Semua anak kecil mempunyai tabiat buruk masing – masing dan kadang – kadang tu susah sangat nak menghilangkan tabiat buruk dia orang. Walaupun puas kita ibu bapa ni tegur dia orang, jentik tangan, piat telinga apa semua bagai. Dia orang masih lagi dengan tabiat yang tidak nampak cantik di mata kita.

Betul tak?

Tapi tak payah cakap tentang anak kecil yang masih belum mencapai akil baligh tulah, kita yang dewasa ni sendiri pun masih ada lagi tabiat buruk yang sangat payah untuk dibuang.

Betulkan?

Apabila soalan bila nak berubah diajukan kepada kita, alasan yang sering dilemparkan ialah dah terbiasa buat begitu jadi payah nak berubah. Kalau kita sebagai ibu bapa pun tak berusaha untuk mengubah tabiat buruk sendiri, jadi jangan pula kita meletakkan tekanan kepada anak – anak untuk mereka berubah.

Kenapa?

Sebab kita sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik kepada mereka.

Ingat!

Ibu bapa adalah contoh yang paling baik untuk ditiru oleh anak – anak.

Jadi hari ni nia akan kongsikan beberapa cara untuk menghilangkan tabiat buruk anak – anak secara perlahan tetapi berkesan, insyaAllah. Pertama sekali, mari kita kenal pasti beberapa contoh tabiat buruk anak – anak kecil yang selalu anak kita buat ataupun kita biasa nampak di sekeliling.

Antaranya ialah:

1 – Menangis bila tak dapat sesuatu
2 – Berguling – guling atas lantai bila dimarahi
3 – Menjerit – jerit bila bercakap
4 – Sibuk nak bercakap bila ibubapa tengah bercakap
5 – Korek hidung
6 – Jilat tapak tangan dan tapak kaki
7 – Menjelirkan lidah
8 – Menjeling
9 – Bercakap kasar
10 – Suka pukul dan tendang

Okey, ini antara contoh tabiat buruk yang selalu dibuat oleh anak – anak kecil. Jadi macam mana nak hilangkan tabiat buruk ni semua?

1 – Bagitahu sebab

Budak – budak ni memang lumrahnya suka bertanya dan selalu nak ambil tahu. Curious. Memang itu sifat dia orang. Malahan, ada kajian mengatakan bahawa budak yang banyak bertanya ni seorang anak yang pintar.

Jadi pastikan ibubapa bagi penjelasan yang sebaiknya bila nak suruh dia orang buang tabiat buruk tu. Nia boleh jamin anak – anak kau orang mesti akan tanya kenapa tak boleh buat macam ni mama / papa?

Contoh, anak selalu jilat tapak tangan dan tapak kaki.

Ibu bapa perlu terangkan tapak tangan dan tapak kaki tu sangat kotor sebab selalu terdedah pada kuman dan bakteria. Tambahan pula mereka selalu bermain di luar dan menyentuh apa sahaja permukaan tanpa membasuh tangan dan kaki selepas bermain.

Jadi kalau mereka suka jilat – jilat tangan dan kaki, ada kemungkinan mereka akan dijangkiti penyakit. Kalau boleh, tunjukkan sekali video kuman yang ada kat tapak tangan dan tapak kaki. Biar mereka tahu kuman tu macam mana rupanya.

2 – Tegur berpanjangan

Manusia memang sifatnya pelupa dan mesti selalu diingatkan. Bukan sahaja kanak – kanak, malahan orang dewasa juga. Jadi setiap kali anak kau orang buat tabiat buruk, tegur dia orang elok – elok.

Contoh, anak cakap menjerit – jerit.

Ibu bapa kena tegur elok – elok, jangan ikut menjerit sama. Kang tak pasal – pasal je, emosi ibu bapa jadi celaru dan anak jadi mangsa ibu bapa melepaskan emosi yang tidak boleh dikawal.

Contoh ayat untuk menegur anak – anak yang tengah membuat tabiat buruk, ‘Ahmad budak baik kan? Ibu suka Ahmad cakap elok – elok dan tak menjerit. Kalau Ahmad cakap elok – elok, ibu boleh dengar apa yang Ahmad cakap. Bila Ahmad menjerit, ibu tak boleh dengar sebab telinga ibu sakit.’

3 – Time Out / Pengasingan

Dah bagitahu penerangan tentang keburukan tabiat buruk yang selalu anak lakukan dan sudah ditegur elok – elok apabila mereka melakukan perbuatan berkenaan tetapi anak masih lagi membuat tabiat buruk itu tanpa mengendahkan teguran yang kita berikan tadi.

Sakit hati, ye dak?

Kecil besar, kecil besar je mata kita pandang anak kita yang seorang ni. Ikutkan nafsu, mahu sahaja kita seligi kepala dia tiga empat kali. Baru puas hati.

HAHAHAHAHAHA

Bila dua cara tadi tak mendatangkan hasil, jadi kita buat pengasingan pula.

Bagi anak dua pilihan.

Samada dia nak duduk seorang – seorang di situ dan terus melakukan tabiat buruk dia ataupun dia nak duduk bersama kita dan berhenti melakukan tabiat buruk tersebut.

Sekiranya dia pilih untuk duduk seorang diri, tinggalkan sahaja dia di situ dan kita pergi ke ruang lain. Asingkan dia selama lima minit. Kemudian, kita tanya balik soalan yang sama. Nak duduk seorang – seorang ataupun nak duduk bersama kita. Ulang benda ni sampai dia pilih untuk duduk bersama dengan kita.

TAPIIIII

Janganlah ditinggalkannya anak tadi seorang – seorang tanpa pengawasan. Pastikan kita sentiasa periksa keadaan dia. Takut dia buat benda – benda yang merbahaya pula.

4 - Ganjaran

Bila anak dah boleh buang terus tabiat buruk mereka, bagilah mereka ganjaran yang sesuai. Antara ganjaran yang boleh diberikan ialah pelukan, masak masakan kegemaran mereka, menonton televisyen, bermain di taman, makan di luar dan sebagainya.

Ingat ye.

Bagi ganjaran hanya bila anak – anak dah berjaya buang tabiat buruk masing – masing. Selagi mereka masih buat tabiat buruk tu, jangan berikan ganjaran.

Kebiasaannya anak – anak akan mengambil masa antara 3 – 6 bulan untuk membuang tabiat buruk mereka. Itu semua pun bergantung kepada usaha ibubapa juga. Kalau ibubapa selalu culas dalam menegur anak – anak, memang agak lama jugalah masa yang akan diambil.

Itu sahaja tips yang nia boleh berikan tentang menghilangkan tabiat buruk anak kecil. Kalau kau orang tahu tips yang lain, jom kongsi kat ruang komen. Kot berguna, boleh orang lain dapat manfaat sekali.

:)

1 comment:

satu komen daripada anda membuatkan saya senyum lebar :)

Ping Banner

 
Copyright © 2019 Nia Emkay. All Rights Reserved. Designed by Cik Nurfarah.