Friday, January 22

RANDOM: Bertudung Labuh, Pilihan atau Paksaan?

Assalamualaikum semua :)

Hari ni nia nak berkongsi dengan kau orang semua sebab nia memilih untuk melabuhkan tudung. Dari sekolah menengah sampailah nia dah tua ni, masih ada lagi yang melemparkan soalan, kenapa suka pakai tudung labuh?

Its all started when I went to high school.

Masa sekolah menengah tu nia sudahpun datang haid jadi ada beberapa bahagian tubuh nia yang mula membesar seperti dada dan juga pinggul. Bila bahagian – bahagian sulit tu semua mula menonjol, nia jadi sangat aware dengan mata – mata yang memandang.

Rasa tak selesa.

Rasa serba tak kena.

Rasa nak cucuk mata dia orang.

Nia jadi sangat tak selesa apabila memakai tudung sekolah masa tu sebab dia tutup betul – betul paras dada sahaja. Kadang tu bila angin tiup, terus terdedah bahagian dada nia. Kalau boleh, rasa nak pinkan sahaja tudung sekolah tu dekat baju. Biar takde terbang – terbang.

Jadi dari situ, nia bertekad untuk pakai tudung labuh.

Nia pun bagitahulah dekat arwah ibu dan juga abah, nia nak cari tudung sekolah yang labuh. Tak kisahlah tudung tu labuh paras mana. Paras perut ke, paras pinggang ke, paras pinggul ke. Janji labuh daripada dada.

Ibu dengan abah pun bawaklah nia pergi cari tudung dekat kedai uniform sekolah masa hujung minggu. Bila cari tudung yang dijual dekat kedai uniform pakaian sekolah, semuanya pendek – pendek meskipun saiznya XL ataupun XXL.

Hampa.

Kecewa.

Sedih.

Tapi ibu tenangkan nia. Ibu suruh pakai dulu tudung sekolah yang ada. Nanti ibu akan belikan kain untuk buat tudung sekolah baru yang labuh.

Seminggu lepas tu, ibu tunjuk dekat nia tudung sekolah nia yang baru. Dengan perasaan teruja, nia terus sarung ke kepala dan nia sangat puas hati dengan kelabuhannya.

Banyak kali nia peluk cium arwah ibu sambil ucapkan terima kasih.

Jadi itulah permulaan kisah nia bertudung labuh.

Mulanya di zaman sekolah menengah.

Bertudung labuh ni merupakan pilihan nia sendiri dan bukannya dipaksa oleh orang lain.  Bila dah bertudung labuh ni, macam – macam tanggapan dan juga gelaran yang diberikan oleh orang sekeliling terhadap nia. Antaranya;

Ustazah.

Budak baik.

Alim.

Teacher’s pet.

Pandai agama.

Dan macam – macam lagilah.

Di kebanyakkan waktunya, nia tak ambil pusing pun dengan tanggapan dan gelaran tu semua. Nia anggap semua kata – kata yang dilemparkan kepada nia sebagai satu doa daripada mereka.

Doa untuk nia terus berusaha menjadi seorang muslimah yang lebih baik hari ini daripada semalam, amin.

Alhamdulillah.

Hijrah nia bertudung labuh semasa sekolah menengah dahulu bertahan sehingga ke hari ni. Semoga nia akan terus istiqomah untuk berjalan di atas jambatan menuju ke arah muslimah yang lebih baik.

Jadi kalau ada diantara pembaca blog nia yang nak cuba bertudung labuh, cari sebab ataupun punca yang betul – betul kukuh kemudian pahatkan dalam hati. Sambil tu, doa sekali pada Allah mohon agar dikurniakan kesabaran dan ketabahan untuk melalui jalan hijrah.

Nia doakan semoga kau orang semua menjadi muslim dan muslimah yang lebih baik pada hari ni daripada semalam, amin :)



Sumber gambar: google.com

1 comment:

satu komen daripada anda membuatkan saya senyum lebar :)

Ping Banner

 
Copyright © 2019 Nia Emkay. All Rights Reserved. Designed by Cik Nurfarah.