Running Man 362 updated // Tuan Tanah tengah sibuk dengan aktiviti Simulasi Cilik Haji

Friday, June 30

GIVEAWAY: Giveaway by Nia Emkay


Assalamualaikum readers :)


Dengan lafaz basmalah, nia melancarkan Giveaway by Nia Emkay yang akan berlangsung daripada 1 Jun 2017 sehingga 30 Jun 2017.



Cara – cara penyertaan:
1 – Buat entri bertajuk ‘Giveaway by Nia Emkay’.
2 – Copy & paste coding di bawah ke dalam entri blog.






5 – Follow Instagram: Shafyqah Azahar, Nurul Hawadah, Nia Emkay, Izzah Alya
6 - Like Facebook Page: Blog Nia Emkay, Blog Sis Hawa, Shafyqah Azahar
7 – Lengkapkan slogan ‘Saya suka Blog Nia Emkay kerana…’
8 – Publish entri tersebut dan tinggalkan link entri di ruangan komen.


Senarai Hadiah:


Gambar Hiasan


Topup
(RM5 X 2 by Sis Hawa, RM5 X 2 by Shafyqah, RM5 X 2 by Izzah Alya)


Pemenang akan dipilih melalui random.org

Semoga berjaya :)


RUNNING MAN: Kang Gary Dah Kahwin


Assalamualaikum semua :)

Yes, I know very well that it has been way too late for me to actually write about this topic. However, better late than never, right? HEHE

Seperti yang kau orang semua sedia maklum, Kang Gary telah menggemparkan industri dunia hiburan dengan berita perkahwinannya dengan seorang perempuan bukan selebriti. Berita itu bukan sahaja mengejutkan para peminat Kang Gary malah kesemua ahli rancangan Running Man turut terkejut dengan berita tersebut kerana Kang Gary tidak pernah bercerita tentang niatnya untuk berkahwin dalam masa yang terdekat.

Secara jujurnya, nia dapat merasakan bahawa Kang Gary sudah mempunyai teman wanita sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sebab kemesraan antara Monday Couple sudah mulai pudar dan kurang lovey – dovey moment. Kang Gary juga mulai ambil berat dan layan Ji Hyo seperti adiknya.


Daripada situ, nia boleh simpulkan dua benda. Pertama, Kang Gary sudah ada teman wanita. Kedua, perasaan dia terhadap Ji Hyo bukan lagi rasa cinta lelaki kepada perempuan tetapi lebih kepada kasih sayang seorang abang kepada adik.

Anyway, congratulations to both Kang Gary and his still anonymous wife!


Kang Gary, bila – bila ada masa senggang tu singgahlah ke rancangan Running Man. Rindu nak tengok gelagat Kang Gary lagi. Dan jangan lupa, perkenalkan isteri kepada dunia. HEHE.


Sumber gambar: google.com

Monday, June 26

DARI HATI: Hebat Ke Restu / Doa Ibu Bapa? (Bahagian 1)


Assalamualaikum semua :)

Kita semua mesti pernah dengar cerita yang disampaikan oleh orang lain ataupun terbaca coretan yang ditulis pelbagai penulis tentang kehebatan restu serta doa daripada ibu bapa. Hakikatnya, betul ke restu dan doa ibu bapa tu hebat? Hebat macam mana yang dimaksudkan dan digembar – gemburkan oleh orang ramai tu?

Hari ni, nia nak kongsikan cerita mengenai kehebatan restu serta doa ibu bapa melalui pengalaman hidup nia sendiri dengan kau orang semua.


Bahagian 1 - Pakai Niqab / Purdah

Pengalaman pertama nia dengan kehebatan restu ibu bapa ini ialah apabila nia bertekad untuk memakai niqab ataupun dikenali juga sebagai purdah. Sebelum nia pakai niqab, nia bagitahu dulu tentang keinginan nia dekat ibu dengan abah supaya nanti mereka tidak tertanya – tanya dengan perubahan nia yang tiba – tiba.

Abah bagi kebenaran dan takde cakap apa sangat tapi ibu yang melarang. Sebabnya waktu nia ambil keputusan untuk memakai niqab tu kumpulan al – arqam sedang bergiat aktif. Kalau ada yang tak tahu, kesemua ahli perempuan dalam kumpulan memakai niqab. Jadi, ibu tak nak nia mendapat salah faham daripada orang ramai. Lagipun, masa tu pemakaian niqab ni masih belum meluas seperti sekarang. Dulu, nak jumpa seorang niqabis masa tengah jalan – jalan dekat pasaraya pun payah. Sekarang ni dah ramai, takde macam dulu lagi.

Walaupun ibu menentang pada mulanya tapi bila abah dah pujuk dan cakap elok – elok dengan ibu, akhirnya ibu bagi jugak kata setuju. Dipendekkan cerita, beberapa bulan lepas nia pakai niqab tu ramai orang bersuara memberi pandangan masing – masing. Dia orang cakap kalau pakai niqab tak boleh sambung belajar luar negara, susah nak dapat kerja, selalu jadi mangsa buli dan macam – macam lagilah.

Bila ibu dengar orang sekeliling kata macam – macam, terus ibu suruh nia buka niqab. Tak bagi pakai lagi dah. Tapi nia pujuk ibu, cakap kata – kata orang tu semua tak betul. Rezeki tu Allah yang punya dan Allah dah janji awal – awal, rezeki ada untuk semua orang. Ibu tetap juga berkeras suruh nia buka niqab tapi nia tak buka. Nia pakai jugak niqab untuk sebulan, lepas tu nia buka.

Kenapa kau orang tanya?

Sebabnya dalam sebulan tu macam – macam dugaan datang tapi yang paling terkesan dalam jiwa nia adalah semua niqab nia hilang selama dua minggu. Hilang, ye hilang. Tanpa dapat dikesan langsung. Mula – mula tu nia ingatkan ibu sorok niqab nia tapi bila nia tanya ibu jawab ibu tak tahu.

Bila niqab dah hilang tu dalam hati terus terdetik, ‘mungkin ini petanda Allah bagi supaya dengar cakap ibu.’ Jadi nia pun padam hasrat untuk pakai niqab. Lepas nia buka niqab tu, terus jumpa balik semua niqab yang hilang tu.

Kau orang tahu nia jumpa niqab tu semua kat mana?

Kat celah – celah tudung yang elok tersusun dalam almari. Nak diikutkan logik, mesti nia boleh jumpa niqab tu kat situ sebab nia memang selalu buka almari tudung tu untuk ambil tudung sekolah dan tudung baru untuk keluar jalan – jalan. Tapi langsung tak nampak dan tak jumpa. Allah dah tutupkan pandangan nia daripada nampak niqab tu agaknya.

Itu merupakan pengalaman pertama nia tentang kehebatan mendapatkan restu daripada ibu bapa sebelum melakukan sesuatu walaupun benda tu nampak sangat remeh dan begitu kecil di pandangan mata kita.

Hebat ke hebat?

Sampai hilang sekejap semua niqab nia semata – mata tak nak dengar nasihat ibu yang suruh nia berhenti daripada memakai niqab.

Okey, cukup sampai sini dulu. Nanti nia sambung lagi tentang cerita ni.



Abah perhati je apa yang adik belek, HEHE

Friday, June 23

DRAMA: Nightmare Teacher


Assalamualaikum semua :)

Nia sudahpun habis menonton drama korea yang bertajuk Nightmare Teacher. Durasi setiap episod untuk drama ini pendek – pendek sahaja iaitu antara 15 hingga 20 minit.

Drama ini mengisahkan Han Bong Goo yang menjadi guru kelas sementara bagi Tahun 2 Kelas 3. Sejak kedatangan Han Bong Goo, seorang demi seorang pelajar Tahun 2 Kelas 3 hilang dan tidak ada sesiapa pun yang mengingati mereka kerana ingatan tentang pelajar – pelajar yang hilang itu telah dipadamkan.


Presiden Kelas 3 iaitu Kang Ye Rim dapat merasai ada sesuatu yang tidak kena di dalam kelasnya kerana meja kosong sering bertambah daripada satu menjadi dua menjadi tiga dan seterusnya dari sehari ke sehari. Dia bersama Seo Sang Woo bertindak untuk menyiasat punca di sebalik kehilangan pelajar dalam kelasnya dan mengapa memori tentang mereka terpadam.

Semasa penyiasatan, Kang Ye Rim perasan satu persamaan antara semua pelajar yang hilang iaitu mereka semua pernah pergi ke Bilik Kaunseling untuk menjalani sesi kaunseling yang dilakukan oleh Han Bong Goo.


Jadi, dia dan Seo Sang Woo menyelinap masuk ke dalam bilik kaunseling untuk menyiasat. Kang Ye Rim terjumpa satu fail dalam laci Han Bong Goo dan di dalamnya terdapat kontrak – kontrak yang ditanda tangani menggunakan darah oleh pelajar – pelajar yang hilang dulu. Kang Ye Rim nekad mahu berdepan dengan Han Bong Goo dan bertanya tentang pelajar – pelajar yang hilang itu kerana dia mahu menyelamatkan mereka.

Han Bong Goo membenarkan Kang Ye Rim untuk masuk ke dalam cermin bagi mencari kawan – kawannya yang hilang dalam tempoh masa yang ditetapkan. Namun Kang Ye Rim perlu menanda tangani kontrak dengan Han Bong Goo. Sekiranya Kang Ye Rim gagal untuk mencari mereka, dia perlu tinggal di dalam cermin bersama kawan – kawannya.


Itulah antara syarat dalam kontrak yang akan Kang Ye Rim tanda tangani. Kang Ye Rim bersetuju untuk tanda tangani kontrak tersebut bagi membolehkan dia masuk ke dalam cermin dan mencari kawan – kawannya yang hilang.

Drama ini sarat dengan dilema perasaan pelajar – pelajar sekolah. Antaranya ialah mahu menjadi yang terkuat di sekolah, keinginan untuk menjadi cantik dan berpasangan dengan pelajar paling popular di sekolah, mereka cerita – cerita bohong untuk menarik perhatian kawan – kawan, mahu kembali rapat dengan kawan – kawan yang lain, boleh melakukan apa sahaja demi mendapatkan tempat pertama dalam peperiksaan.


Nia rasa drama ini sangat bagus untuk ditonton oleh para remaja diluar sana kerana terdapat pelbagai pengajaran di dalamnya. Nia secara peribadinya suka menonton drama ni dan turut menyarankan kepada kau orang semua untuk menontonnya juga. Jangan risau, drama ini pendek sahaja durasi bagi setiap episod. Hanya 15 hingga 20 minit sahaja.

Jumlah Episod: 12
Rating: 4.8 / 5

Sumber gambar: google.com

Monday, June 19

DARI HATI: Ibu


Assalamualaikum semua :)

Lima tahun.

Sedar tak sedar sudah lima tahun lamanya ibu pergi meninggalkan nia. Pemergian ibu meninggalkan impak yang besar dalam kehidupan nia yang pada ketika itu baru berumur belasan tahun.

Terasa macam baru semalam ibu mengusap – usap lembut kepala nia.
Terasa macam baru semalam ibu suruh nia masuk dapur untuk belajar memasak.
Terasa macam baru semalam ibu ketuk pintu nak ajak keluar.
Terasa macam baru semalam ibu panggil nia suruh bangun.
Terasa macam baru semalam ibu belikan segala makanan kesukaan nia.
Terasa macam baru semalam ibu hadiahkan nia telefon bimbit sebab cemerlang dalam peperiksaan.
Terasa macam baru semalam nia cium tangan, dahi dan pipi ibu sebelum keluar dari rumah.

Segalanya bermula sebaik sahaja peperiksaan SPM nia tamat. Biasalah, anak muda yang baru sahaja melangkahkan kaki keluar daripada alam persekolahan. Semangat nak bekerja dan mencari duit untuk memuaskan nafsu tu sangat tinggi dan membuak – buak. Jadi, nia minta izin daripada ibu dengan abah untuk bekerja. Mereka berikan keizinan.


Kenangan semasa bercuti di Pulau Pinang

Jadi nia pun pergilah mencari kerja dengan ibu sebagai peneman. Nia diterima bekerja di 99 Speedmart Sdn Bhd sebagai seorang juruwang. Seronok tak terkata sebab ini merupakan pengalaman pertama nia bekerja dan mendapat gaji. Selepas sebulan bekerja, ibu sakit dan kerap keluar masuk hospital.

Abah suruh nia berhenti kerja untuk menjaga ibu. Abah cakap abah tak boleh nak selalu ambil cuti sebab nanti kena potong gaji. Abah merupakan satu – satunya orang dalam keluarga yang menyara kami semua. Kalau abah kena potong gaji, macam mana kami nak makan? Perbelanjaan ubat – ubatan ibu siapa nak tanggung? Yuran sekolah adik pula macam mana?

Abah janji untuk berikan elaun sebanyak RM400 sebagai ganti gaji nia. Nia berhenti kerja dengan rela hati. Nia teman ibu di wad hospital setiap hari. Ke mana ibu pergi, nia ikut. Nia sentiasa di sisi ibu setiap hari, tak pernah tinggal walaupun sedetik. Doktor sahkan buah pinggang ibu bermasalah sebab tu air kencing ibu ada banyak buih. Doktor berikan macam – macam jenis ubat untuk ibu makan. Ibu makan ubat dengan patuh. Harapan ibu hanya satu sahaja, untuk pulih seperti sedia kala.

Tapi bila dah makan ubat tu semua, kaki ibu jadi lemah. Ibu perlu sentiasa dipimpin dan disokong ketika berjalan. Ibu tak boleh berjalan seorang – seorang, takut nanti ibu terjatuh dan kaki terseliuh. Betapa lemahnya kaki ibu ketika itu sampaikan nak bangun daripada duduk pun kena ada orang yang dukung dan sokong, barulah ibu boleh bangun.

Malahan setelah membuang air, ibu perlu memanggil orang untuk angkat ibu daripada cangkungannya barulah ibu boleh berdiri dan bangun. Pada ketika ini, nia sahaja yang sentiasa berada di rumah. Abah bekerja, adik bersekolah, along pulak jauh di Perak. Ibu hanya boleh bergantung dengan nia sahaja.

Ada – ada masa tu ibu bertanya, ‘penat ke jaga ibu?’ Jawapan nia hanya satu, ‘tak ibu.’ Nia tahu ibu rasa malu dan anggap ibu membebankan nia sebab kena jaga ibu tapi langsung tak terlintas dalam hati nia tentang tu.


Kenangan di Pusat Sains Negara

Sampai satu tahap, ibu kena bergantung dengan kerusi roda. Nak pergi mana – mana, mesti naik kerusi roda. Pada masa tu, ibu tak nak keluar rumah sebab takut anak – anak malu ibunya duduk atas kerusi roda. Tapi Alhamdulillah, kami adik – beradik langsung tak ada perasaan macam tu. Setiap hujung minggu, kami ajak dan pujuk ibu untuk bersiar – siar di luar. Hirup udara segar dan makan angin untuk menghilangkan tekanan perasaan ibu.

Tak lama selepas keputusan SPM diumumkan, nia dapat tawaran menyambungkan pelajaran di KPTM KL. Nia tanya abah samada nia patut terima tawaran tersebut ataupun menolak memandangkan ibu masih lagi sakit ketika itu. Abah cakap takpe, terima je tawaran tu. Nanti abah akan jaga ibu.

Jadi, nia pun terima tawaran tersebut. Pada mulanya nia nak duduk di rumah supaya senang nak berganti – ganti jaga ibu dengan abah tetapi ibu melarang. Katanya bagus nia duduk di asrama, boleh bergaul dengan kawan – kawan. Jadual belajar pun terjaga. Nia turutkan kemahuan ibu, nia duduk di asrama.

Setiap minggu, habis je kelas pada hari Jumaat tengah hari terus nia bergegas balik ke rumah. Tak sempat tunggu lepas solat Jumaat. Sampai je rumah, nia mandi, solat dan makan. Kemudian, nia terus bergegas ke hospital untuk jumpa ibu. Nia akan teman ibu sampai masuk waktu maghrib sebelum abah ambil alih tugas untuk kembali menjaga ibu.

Minggu demi minggu, keadaan ibu bertambah teruk. Ibu semakin lemah dan terdaya. Nak bercakap pun tak boleh sebab dada rasa sempit dan nafas ibu pendek. Setiap kali tengok ibu mesti air mata nia mengalir tetapi ibu tetap kuat. Ibu tetap ibu. Masih risau dengan kebajikan anak – anaknya. Ibu kuatkan semangat untuk tanya khabar, dah makan ke belum, pelajaran macam mana.

Sehari sebelum ibu pergi, nia kemalangan. Nia langgar pintu pagar rumah dan secara spontan muka ibu terbayang dalam kepala. Hati nia suruh pergi hospital duduk di sisi ibu dan jangan balik asrama. Tapi bila nia sampai hospital, ibu pula suruh balik asrama dan tak bagi tunggu.

Nak dijadikan cerita, biasanya nia akan matikan telefon bimbit sebelum tidur tetapi hari tu nia tak matikan. Tengah malam tu, abah telefon beritahu ibu dah takde. Nia jadi bingung dan hilang punca. Terus nia kemas beg dan jumpa warden cakap nak balik rumah. Sampai hospital, nia terus pergi bilik untuk mandikan jenazah.

Di situ, nia renung wajah ibu. Ibu nampak tenang, macam tengah tidur. Nia pegang muka ibu, sejuk. Itulah detiknya nia mulai pasti, ibu sudah pergi menghadap Ilahi. Nia mandikan jenazah ibu bersama abah, adik dan saudara perempuan yang lain. Along tak dapat nak mandikan ibu sebab dia dekat Perak.

Jenazah ibu dibawa balik ke Melaka dan ditanam di tanah perkuburan Pantai Kundur.

Ramai yang datang mengiringi jenazah ibu.
Ramai yang datang untuk solatkan jenazah ibu.
Ramai yang datang cerita tentang kebaikan ibu.
Ramai yang datang beritahu mereka terkilan kerana tidak diberitahu tentang sakit ibu.

Lima tahun lamanya nia simpan cerita ni. Lima tahun jugaklah nia mengelak daripada berbicara tentang ibu dan sakit yang ibu hidapi. Nia tak bersedia untuk beritahu semua orang tentang cerita ini. Nia masih tak boleh terima ibu dah takda di sisi nia lagi.

Ramai yang bertanya tapi nia mengelak daripada memberikan jawapan. Seringkali, air mata yang mengalir menjadi jawapan kepada pertanyaan mereka. Kini selepas lima tahun, barulah nia bersedia nak beritahu semua tentang perkara ini. Semoga ibu tenang disana dan semoga kita bertemu kembali sebagai sebuah keluarga di akhirat kelak, amiin.

Al – Fatihah untuk arwah ibu, Saniah bt Sani.



Kenangan di Pusat Sains Negara

Friday, June 16

TIPS: Ajar Anak Berpuasa Seawal 4 Tahun


Memandangkan bulan Ramadhan sudah hampir tiba, jadi nia bercadang untuk kongsikan tips buat para ibu bapa di luar sana tentang cara – cara mengajar anak supaya berpuasa seawal umur empat tahun.

Mendidik anak kecil untuk berpuasa bukanlah satu tugas yang mudah buat ibu bapa, nia akui tentang perkara itu. Atas pengalaman nia sendiri, kebanyakkan ibu bapa berdepan dengan pelbagai masalah apabila hendak menyuruh anak – anak mereka berpuasa. Bila dah banyak masalah, ibu bapa pun berputus asa daripada melatih anak mereka untuk berpuasa.

1 – Bagitahu maksud puasa

Pertama sekali, ibu bapa perlu beritahu anak – anak tentang maksud puasa. Kanak – kanak ni sifat ingin tahu mereka sangat membuak – buak jadi mereka pasti tertanya – tanya apa itu puasa. Jadi, perkenalkan dahulu apa itu puasa kepada mereka semua untuk memuaskan hati anak – anak tersebut.


Tak tahu nak buat ayat macam mana untuk menerangkan maksud puasa kepada anak – anak? Bagi je maksud puasa yang ada dalam buku teks sekolah tu pada mereka. Bukannya nak bagi anak – anak hafal maksud puasa cuma nak bagi mereka faham dan tahu je.

Puasa itu maksudnya menahan diri daripada lapar dan dahaga. Orang islam diwajibkan untuk berpuasa selama sebulan dalam bulan Ramadhan.

2 – Sebab perlu puasa

Bila anak – anak dah tahu maksud berpuasa, barulah ibu bapa boleh terangkan sebab – sebab mereka perlu berpuasa selama sebulan. Elakkan daripada memberikan sebab seperti perintah Allah, kewajipan orang islam dan sebagainya sahaja kepada anak – anak kerana mereka belum mengerti lagi tentang perkara – perkara seperti itu.


Ada kemungkinan anak – anak tersebut tidak boleh menerima sebab itu dan seterusnya menyoal kembali ibu bapa dengan pertanyaan – pertanyaan yang tidak terjangka dan sukar untuk dijawab ibu bapa.

Seeloknya, selitkan bersama kebaikan berpuasa dari sudut sains seperti sistem penghadaman boleh berehat daripada bekerja dan membersihkan perut daripada segala bendasing serta toksik.

3 – Ganjaran berpuasa

Yang ketiganya ialah memberitahu anak – anak tentang ganjaran berpuasa. Anak kecil ni bila mereka dah melakukan sesutau perkara dengan elok pastinya mereka akan mengharapkan ganjaran daripada ibu bapa mereka walaupun hanya sebiji gula – gula ataupun dengan belanja mereka makan diluar.

Betul ke betul?

Jadi, ibu bapa perlu beritahu anak- anak tentang ganjaran berpuasa. Apabila mereka berjaya puasa selama satu hari mereka akan diberikan ganjaran pahala dan boleh berbuka puasa bersama – sama dengan ahli keluarga yang lain. Sekiranya mereka tidak berpuasa, mereka perlu makan berasingan daripada ahli keluarga yang berpuasa.


Apabila mereka berjaya puasa selama tiga puluh hari dalam bulan Ramadhan, mereka boleh menyambut Hari Raya Aidilfitri dan berpakaian baru. Sekiranya tidak cukup, mereka masih lagi boleh menyambut Hari Raya Aidilfitri tetapi tidak berpakaian baru.

Sekiranya ibu bapa mahu memberikan ganjaran, pastikan ganjaran yang ditawarkan itu mampu untuk ibu bapa tunaikan. Contohnya, sekiranya anak kecil mampu berpuasa penuh satu bulan mereka akan dibawa jalan ke Legoland.

Pastikan ibu bapa menunaikan janji dengan membawa anak mereka ke Legoland sekiranya anak kecil itu mampu berpuasa penuh satu bulan. Dikhuatiri sekiranya tidak ditunaikan janji tersebut, di kemudian hari nanti ibu bapa akan dilabel menipu oleh anak – anak sendiri.
Jadi ingat, tawarkan ganjaran yang mampu ditunaikan oleh ibu bapa.

4 – Permulaan puasa setengah hari.

Anak – anak kecil terutamanya yang berusia empat tahun ni masih belum biasa berpuasa dan belum ada pengalaman berpuasa lagi. Jadi, ibu bapa perlu melatih mereka secara perlahan – lahan. Mulakan latihan puasa dengan mengajar anak berpuasa setengah hari pada minggu pertama bulan Ramadhan.

Sekiranya mereka mampu bertahan, pada minggu kedua nanti naikkan satu atau dua jam. Begitulah seterusnya sehingga minggu terakhir dalam bulan Ramadhan. Ingat, naikkan jam berpuasa sekiranya anak – anak tadi mampu untuk bertahan. Sekiranya mereka tidak mampu bertahan, jangan naikkan jam. Takut nanti membebankan anak – anak dan menghilangkan minat mereka untuk berpuasa.


Mereka masih kecil dan masih mempunyai waktu untuk berlatih lagi. Jangan terlalu memaksa sehingga akhirnya memudaratkan anak – anak.

Itu sahaja tips yang dapat nia kongsikan bersama dengan kau orang. Harap – harap tips ini dapat membantu para ibu bapa diluar sana yang tengah mencari – cari cara untuk melatih anak – anak mereka berpuasa.

Sumber gambar: google.com
© Copyright Reserved to Nia Emkay l Designed by DayangDeno