Assalamualaikum semua :)
Lima tahun.
Sedar tak sedar sudah lima tahun lamanya ibu pergi meninggalkan
nia. Pemergian ibu meninggalkan impak yang besar dalam kehidupan nia yang pada
ketika itu baru berumur belasan tahun.
Terasa macam baru semalam ibu mengusap – usap lembut kepala nia.
Terasa macam baru semalam ibu suruh nia masuk dapur untuk belajar
memasak.
Terasa macam baru semalam ibu ketuk pintu nak ajak keluar.
Terasa macam baru semalam ibu panggil nia suruh bangun.
Terasa macam baru semalam ibu belikan segala makanan kesukaan nia.
Terasa macam baru semalam ibu hadiahkan nia telefon bimbit sebab
cemerlang dalam peperiksaan.
Terasa macam baru semalam nia cium tangan, dahi dan pipi ibu
sebelum keluar dari rumah.
Segalanya bermula sebaik sahaja peperiksaan SPM nia tamat.
Biasalah, anak muda yang baru sahaja melangkahkan kaki keluar daripada alam
persekolahan. Semangat nak bekerja dan mencari duit untuk memuaskan nafsu tu
sangat tinggi dan membuak – buak. Jadi, nia minta izin daripada ibu dengan abah
untuk bekerja. Mereka berikan keizinan.
Kenangan semasa bercuti di Pulau Pinang
Jadi nia pun pergilah mencari kerja dengan ibu sebagai peneman. Nia
diterima bekerja di 99 Speedmart Sdn Bhd sebagai seorang juruwang. Seronok tak
terkata sebab ini merupakan pengalaman pertama nia bekerja dan mendapat gaji.
Selepas sebulan bekerja, ibu sakit dan kerap keluar masuk hospital.
Abah suruh nia berhenti kerja untuk menjaga ibu. Abah cakap abah
tak boleh nak selalu ambil cuti sebab nanti kena potong gaji. Abah merupakan
satu – satunya orang dalam keluarga yang menyara kami semua. Kalau abah kena
potong gaji, macam mana kami nak makan? Perbelanjaan ubat – ubatan ibu siapa
nak tanggung? Yuran sekolah adik pula macam mana?
Abah janji untuk berikan elaun sebanyak RM400 sebagai ganti gaji
nia. Nia berhenti kerja dengan rela hati. Nia teman ibu di wad hospital setiap
hari. Ke mana ibu pergi, nia ikut. Nia sentiasa di sisi ibu setiap hari, tak
pernah tinggal walaupun sedetik. Doktor sahkan buah pinggang ibu bermasalah
sebab tu air kencing ibu ada banyak buih. Doktor berikan macam – macam jenis
ubat untuk ibu makan. Ibu makan ubat dengan patuh. Harapan ibu hanya satu
sahaja, untuk pulih seperti sedia kala.
Tapi bila dah makan ubat tu semua, kaki ibu jadi lemah. Ibu perlu
sentiasa dipimpin dan disokong ketika berjalan. Ibu tak boleh berjalan seorang
– seorang, takut nanti ibu terjatuh dan kaki terseliuh. Betapa lemahnya kaki
ibu ketika itu sampaikan nak bangun daripada duduk pun kena ada orang yang
dukung dan sokong, barulah ibu boleh bangun.
Malahan setelah membuang air, ibu perlu memanggil orang untuk
angkat ibu daripada cangkungannya barulah ibu boleh berdiri dan bangun. Pada
ketika ini, nia sahaja yang sentiasa berada di rumah. Abah bekerja, adik
bersekolah, along pulak jauh di Perak. Ibu hanya boleh bergantung dengan nia
sahaja.
Ada – ada masa tu ibu bertanya, ‘penat ke jaga ibu?’ Jawapan nia
hanya satu, ‘tak ibu.’ Nia tahu ibu rasa malu dan anggap ibu membebankan nia
sebab kena jaga ibu tapi langsung tak terlintas dalam hati nia tentang tu.
Kenangan di Pusat Sains Negara
Sampai satu tahap, ibu kena bergantung dengan kerusi roda. Nak pergi
mana – mana, mesti naik kerusi roda. Pada masa tu, ibu tak nak keluar rumah
sebab takut anak – anak malu ibunya duduk atas kerusi roda. Tapi Alhamdulillah,
kami adik – beradik langsung tak ada perasaan macam tu. Setiap hujung minggu,
kami ajak dan pujuk ibu untuk bersiar – siar di luar. Hirup udara segar dan
makan angin untuk menghilangkan tekanan perasaan ibu.
Tak lama selepas keputusan SPM diumumkan, nia dapat tawaran
menyambungkan pelajaran di KPTM KL. Nia tanya abah samada nia patut terima
tawaran tersebut ataupun menolak memandangkan ibu masih lagi sakit ketika itu.
Abah cakap takpe, terima je tawaran tu. Nanti abah akan jaga ibu.
Jadi, nia pun terima tawaran tersebut. Pada mulanya nia nak duduk
di rumah supaya senang nak berganti – ganti jaga ibu dengan abah tetapi ibu
melarang. Katanya bagus nia duduk di asrama, boleh bergaul dengan kawan –
kawan. Jadual belajar pun terjaga. Nia turutkan kemahuan ibu, nia duduk di
asrama.
Setiap minggu, habis je kelas pada hari Jumaat tengah hari terus
nia bergegas balik ke rumah. Tak sempat tunggu lepas solat Jumaat. Sampai je
rumah, nia mandi, solat dan makan. Kemudian, nia terus bergegas ke hospital
untuk jumpa ibu. Nia akan teman ibu sampai masuk waktu maghrib sebelum abah
ambil alih tugas untuk kembali menjaga ibu.
Minggu demi minggu, keadaan ibu bertambah teruk. Ibu semakin lemah
dan terdaya. Nak bercakap pun tak boleh sebab dada rasa sempit dan nafas ibu
pendek. Setiap kali tengok ibu mesti air mata nia mengalir tetapi ibu tetap
kuat. Ibu tetap ibu. Masih risau dengan kebajikan anak – anaknya. Ibu kuatkan
semangat untuk tanya khabar, dah makan ke belum, pelajaran macam mana.
Sehari sebelum ibu pergi, nia kemalangan. Nia langgar pintu pagar
rumah dan secara spontan muka ibu terbayang dalam kepala. Hati nia suruh pergi
hospital duduk di sisi ibu dan jangan balik asrama. Tapi bila nia sampai
hospital, ibu pula suruh balik asrama dan tak bagi tunggu.
Nak dijadikan cerita, biasanya nia akan matikan telefon bimbit
sebelum tidur tetapi hari tu nia tak matikan. Tengah malam tu, abah telefon
beritahu ibu dah takde. Nia jadi bingung dan hilang punca. Terus nia kemas beg
dan jumpa warden cakap nak balik rumah. Sampai hospital, nia terus pergi bilik
untuk mandikan jenazah.
Di situ, nia renung wajah ibu. Ibu nampak tenang, macam tengah
tidur. Nia pegang muka ibu, sejuk. Itulah detiknya nia mulai pasti, ibu sudah
pergi menghadap Ilahi. Nia mandikan jenazah ibu bersama abah, adik dan saudara
perempuan yang lain. Along tak dapat nak mandikan ibu sebab dia dekat Perak.
Jenazah ibu dibawa balik ke Melaka dan ditanam di tanah perkuburan
Pantai Kundur.
Ramai yang datang mengiringi jenazah ibu.
Ramai yang datang untuk solatkan jenazah ibu.
Ramai yang datang cerita tentang kebaikan ibu.
Ramai yang datang beritahu mereka terkilan kerana tidak diberitahu
tentang sakit ibu.
Lima tahun lamanya nia simpan cerita ni. Lima tahun jugaklah nia
mengelak daripada berbicara tentang ibu dan sakit yang ibu hidapi. Nia tak
bersedia untuk beritahu semua orang tentang cerita ini. Nia masih tak boleh
terima ibu dah takda di sisi nia lagi.
Ramai yang bertanya tapi nia mengelak daripada memberikan jawapan.
Seringkali, air mata yang mengalir menjadi jawapan kepada pertanyaan mereka.
Kini selepas lima tahun, barulah nia bersedia nak beritahu semua tentang
perkara ini. Semoga ibu tenang disana dan semoga kita bertemu kembali sebagai
sebuah keluarga di akhirat kelak, amiin.
Kenangan di Pusat Sains Negara
No comments:
Post a Comment
satu komen daripada anda membuatkan saya senyum lebar :)