Showing posts with label tadika. Show all posts
Showing posts with label tadika. Show all posts

Friday, October 6

BBM: Bahan Simulasi Haji Cilik

Assalamualaikum semua :)

Pada bulan Julai yang lepas, tadika nia ada buat event Simulasi Haji Cilik. Sudah beberapa tahun sebenarnya kami buat Simulasi Haji Cilik ini di tadika dan tidak mengikuti program yang dianjurkan oleh PERTIM setiap tahun.

Pandangan peribadi nia, buat simulasi haji secara sendiri tanpa mengikuti program anjuran PERTIM adalah lebih selesa dan santai. Sebabnya bila ikut simulasi haji anjuran PERTIM tu, pesertanya sangat ramai. Mereka memang nak bagi murid – murid merasai sendiri pengalaman sebenar ketika menunaikan haji di Mekah bagaimana.



Bila pesertanya dah ramai, tentulah akan rasa panas. Kalau cuaca pada hari tersebut panas elok, habis basahlah ketiak memasing. Dengan rasa dahaganya lagi, ditambah pulak perut berkeroncong sebab tak makan sarapan. Lepas tu mulalah rasa pening mabuk nak pengsan sebab perut rasa sebu.

Nak buat aktiviti pun rasa tak selesa sebab pesertanya bertolak – tolak dan memasing nak habis awal. Nak pergi mana entah laju – laju macam tu. Cuba ikut nasihat Faizal Tahir, santai – santailah sayangku, pergi mana laju – laju, ini bukan kereta baru, asalkan aku dengan mu.

Ewaaahhhh ~

HAHA

Tapi itu semua terpulang atas kehendak dan keinginan masing – masing. Kalau tak pernah merasai lagi pengalaman simulasi haji anjuran PERTIM, pergilah sekurang – kurangnya sekali. Timba pengalaman baru.

Nia dah pernah pergi simulaji haji anjuran PERTIM sebanyak dua kali sebelum ini. Kalau kau orang nak baca pengalaman nia, bolehlah klik pada pautan yang nia letak kat bawah ni yee.

[ PENGALAMANMENGIKUTI SIMULASI HAJI CILIK ANJURAN PERTIM ]

Kalau tanya nia antara buat simulasi haji sendiri ataupun ikut anjuran PERTIM, nia akan pilih buat simulasi haji sendiri.

Aktiviti boleh dilakukan secara santai, tak perlu nak berebut – rebut, bertolak – tolak dan bersesak – sesak. Lepas tu, boleh selitkan sekali sesi penerangan ringkas dan sejarah beberapa tempat yang penting. Dan paling utama, boleh pilih tempat yang sejuk untuk buat aktiviti simulasi haji, KEKE

Jadi sekiranya ada cikgu – cikgu yang nak buat aktiviti simulasi haji di tadika, tak perlu risau dengan bahan simulasi haji yang diperlukan oleh murid. Nia dah buatkan untuk cikgu – cikgu semua dan nia terbuka hati untuk kongsikan bahan tersebut di sini.

Nia izinkan cikgu – cikgu semua untuk guna bahan simulasi haji cilik yang telah nia buat untuk tadika nia sebelum ini. Harapnya takdelah orang yang jual bahan ni yee sebab nia bagi secara percuma dengan harapan agar ramai boleh mendapat manfaatnya. Kalau nia dapat tahu ada yang jual bahan simulasi haji ni, lepas ni memang nia tak nak kongsi apa – apa bahan percuma dahlah kat sini. Kecewa bila orang buat macam tu.

EH MERAJUK PULAK PEREMPUAN NI, HAHA

Untuk yang memerlukan bahan simulasi haji cilik, boleh klik link dekat ni okeyy.

[ BAHAN SIMULASI HAJI CILIK PERCUMA ]

Nia doakan agar semua yang membaca perkongsian ini dapat menjejakkan kaki ke Mekah untuk menunaikan umrah dan haji pada satu hari nanti. Amin Ya Allah, Ya Mujib :)

Sumber Gambar: Google.com

Friday, September 29

TIPS: Font Huruf Hijaiyah Untuk Aktiviti Mewarna

Assalamualaikum semua :)

Sejak terlibat dalam bidang pendidikan awal kanak – kanak ni, nia sering mencari cara nak tulis huruf hijaiyah blok untuk aktiviti mewarna, menyurih, menampal sticker, surih guna playdoh, dsb.

Nia sejenis cikgu yang suka print bahan bantu mengajar daripada tulis sendiri sebab nia memang sedia maklum tulisan nia tak secantik mana. Kadang lurus, kadang bengkok, kejap kecil, kejap besar.

EH EH, SAKIT PULAK MATA MEMANDANG

Makanya nia sentiasa mencari di group BBM Facebook dan bertanya dengan guru – guru lain samada mereka tahu ataupun tidak tentang kewujudan huruf hijaiyah blok ni. Bukan apa, kalau ada font huruf hijaiyah blok ni mudahlah urusan nia nak buat BBM untuk murid.

Untuk yang tak faham dengan perkataan huruf hijaiyah blok tu, nia dah tunjukkan contoh sesiap di bawah ini.

ا ب ت ث ج ح خ د ذ ر ز س ش ص ض ط ظ ع غ ف ق ك ل م ن و ه لا ء ي

Setelah bertahun nia mencari font huruf hijaiyah blok ni, akhirnya nia jumpa jugak namanya bulan lepas. Legaaaaa sangat bila dah jumpa nama font dan tempat untuk download font tersebut. Semoga lepas ni, nia akan bertambah rajin untuk menghasilkan BBM untuk murid kesayangan.

Nia ada letakkan nama font huruf hijaiyah blok di bawah ini. Jangan risau, link untuk download font tersebut pun nia ada sertakan sekali.

Semoga memberi manfaat untuk mereka yang menggunakannya :)



NAMA FONT HURUF HIJAIYAH BLOK: KFGQPC ALPHABET OUTLINED

[ LINKDOWNLOAD FONT HURUF HIJAIYAH BLOK / KFGQPC ALPHABET OUTLINED ]

Friday, August 4

TADIKA: Bersemangat Ketika PDPR

[CERITA LAMA TAPI BARU NAK DIKONGSI, MAAFKAN SAYA]




Assalamualaikum semua :)

Sebelum ni nia dah ceritakan pengalaman nia menempuhi fasa #pkp tapi kalau kau orang semua terlepas cerita itu, bolehlah klik link yang nia sediakan kat bawah ni okeyy.

[PERIBADI: Pengalaman Menempuhi PKP]

Walaupun negara kita sudah memasuki fasa peralihan kepada endemik tetapi masih ada lagi beberapa sekolah yang mengamalkan PDPR ataupun belajar secara atas talian kerana kes covid19 meningkat di sekolah masing – masing.

Jadi untuk kali ini, nia akan kongsikan beberapa tips yang nia buat untuk kekal bersemangat ketika melakukan PDPR.

Pertama, bangun awal.

Kelas online nia akan mula seawal sembilan pagi. Jadi nia akan pastikan nia bangun awal seperti mana nia akan masuk kerja sesi pagi. Pukul enam dah bangkit daripada tidur dan bersihkan diri. Selepas tu, nia akan sarapan dan sediakan peralatan yang akan digunakan semasa kelas nanti.

Kadang tu, nia sempat main games, dengar muzik, baca email ataupun tonton Running Man. Apa yang nia perasan, mood nia lebih elok dan ceria semasa kelas sekiranya nia bangun awal dan bersiap – sedia untuk kelas berbanding bangun lambat.

Kedua, mandi.

Nia terus terang dengan kau orang, masa #pkp1.0 dulu, nia buat kelas online tak mandi pun. Hanya cuci muka sahaja. Terasa tak segar langsung dan lesu. Mengajar budak – budak pun rasa tak bersemangat dan asyik nak cepat habiskan kelas sahaja. Nia rasa kalau nia mengajar sambil peluk bantal, mahunya terlena tengah kelas. HAHAHA

Jadinya, nia nasihatkan kau orang supaya mandi. Baru boleh rasa segar dan ada semangat nak mengajar.

Ketiga, sarapan

Sarapan ni kau orang tak perlu nak makan berat – berat pun. Cukup sekadar mengalas perut kau orang je. Antara menu sarapan nia ialah roti dengan kaya, bihun singapore, cereal kosong, nasi lemak, air coklat, roti canai, biskut, buah – buahan kering dsb. Sarapan pagi ni ikut dengan mood nia jugaklah. Kadang nak makan fancy, kadang nak western, kadang nak yang berat.

Yang penting, jangan tinggalkan sarapan.

Keempat, bercantik – cantik.

Seperti mana kau orang semua bersiap nak ke tempat kerja, macam itu jugaklah kau orang kena bersiap sebelum kelas. Baju cantik, awning tudung on point, calit makeup, pakai aksesori yang mengerlip, sembur minyak wangi lagi.

Bercantik – cantik ini sebenarnya lebih untuk meningkatkan mood dan juga semangat kau orang, bukannya untuk pandangan budak – budak pun. Bagi nia, bercantik – cantik ni sangat menjadi untuk naikkan semangat diri sendiri.

Kelima, cari tempat sesuai.

Untuk nia, tempat yang sesuai adalah tempat yang nyaman. Udara sejuk, suasana sunyi, baunya wangi dan paling penting takde gangguan internet. Kalau tempat dah menarik tapi internet takde, boleh jadi gila jugak gaisss.

Sekiranya kau orang mempunyai pelbagai pilihan untuk menjalankan kelas, eloklah kau orang tukar – tukar tempatnya. Di perpustakaan ke, makmal komputer ke, makmal sains ke, dewan ke. Untuk mengelakkan kau orang rasa bosan.

Keenam, sediakan barang.

Yang ini, bukan keperluan.

Kalau kau orang rasa tak nak sediakan pun, takde masalah. Nia sediakan barang – barang ni sebab nia nak adakan rasa semangat serta seronok semasa mengajar di kelas. Antara barang yang sediakan ialah lampu + bluetooth speaker, headphone, microphone, webcam dan meja lipat.

Nia harap tips yang nia berikan kali ni dapat membantu kau orang semua :)

Sumber gambar: google.com

Friday, July 28

PERIBADI: Pengalaman Menempuhi PKP

[CERITA LAMA TAPI BARU NAK DIKONGSI, MAAFKAN SAYA]




Assalamualaikum semua :)

Semasa virus covid19 mulai mengganas di Malaysia, kerajaan telah mengeluarkan arahan supaya rakyat berkurung di dalam rumah dan hanya ketua keluarga sahaja dibenarkan untuk membeli barangan keperluan harian.

Mula – mula tu nia rasa seronok sebab dapat bercuti daripada kerja. Ingatkan sekejap sahaja, dalam dua minggu macam tu tapi tak sangka pulak #pkp akan bersambung sehingga berbulan – bulan.

Jadi bila dah terlalu lama berkurung dalam rumah, nia jadi tertekan dan kemurungan. Sebelum ni bebas nak pergi ke mana sahaja, tiada siapa nak kisah mahupun peduli. Tapi kali ni baru keluar ke laman rumah, semua orang dah perhati je gerak geri kita. Nak pergi ke kedai untuk beli barang pun jantung berdebar lain macam. Mata melilau pandang kiri kanan. Dah semacam penjenayah je nia rasa ketika tu.

Semasa #pkp dilaksanakan, budaya bekerja dari rumah mula diperkenalkan buat pertama kalinya. Seperti orang lain, nia juga berasa janggal serta terpinga – pinga nak menyesuaikan diri dengan budaya baru ini. Bekerja dari rumah merupakan satu budaya asing dan macam biasalah, nak biasakan diri dengan sesuatu yang baru mesti akan ambil masa. But like I said earlier, I’m getting stressed from the lockdown.

Makanya, nia takde mood nak bekerja. Nia langsung tak nak ambil tahu cara melaksanakan kelas online, melakukan aktiviti dengan pelajar dan sebagainya.

Nia tak tahulah pihak pengurusan mahupun cikgu – cikgu lain perasan ataupun tidak tetapi nia tahu performance nia jatuh teruk. Kerja memang nia buat ala kadar sahaja. Lepas tu idea semua bagi last minute. Bila ada perbincangan, nia lebih suka dengar dan perhati daripada turut serta. Lesson plan pun nia recycle je. Malas nak cari idea dan malas nak fikir aktiviti menarik.

Kalau tak sebelum ni, nia mesti akan cari pelbagai aktiviti menarik dekat internet untuk dijadikan rujukan. Sebab iyelah, kalau belajar menghadap buku sahaja pun membosankan jugak. Jadi bila ada pelbagai aktiviti, takdelah budak – budak rasa pembelajaran tu kurang menarik.

Apabila lesson plan pun nia dah malas nak buat, nak mengajar kelas online lagilah malas jadinya. Langsung tak bersemangat nak mengajar. Nia punya hilang semangat mengajar tu sampai tahap tak mandi pun hanya basuh muka sahaja dan terus buat kelas online. Kau orang boleh bayangkan tak?

Penampilan mengajar masa tu, selekeh habis. Sarung kemeja – t dengan tudung sarung je. Kadang tu, pakai baju tidur je masuk mengajar. Budak – budak tengok pun takde semangat nak belajar. Sarapan pun nia tinggalkan, biar je perut kosong. Lepas habis kelas online, nia tidur.

Lifeless.

Itulah kehidupan nia semasa #pkp1.0.

Bila dah masuk #pkp2.0 dan juga #pkp3.0, nia dah mula menyesuaikan diri dengan keadaan berkurung dari rumah jadi aktiviti harian nia pun mulai berubah. Nia cuba untuk bangun pagi dan ambil sarapan. Bila masuk tengah hari, nia masakkan makanan untuk abah. Petang – petang, nia cuba buat aktiviti dekat luar supaya tak rasa rimas asyik terkurung dekat dalam je.

Nia perasan bila aktiviti harian nia berubah, rasa tertekan tu hilang. Pengajaran yang nia dapat daripada #pkp1.0 adalah nia perlu buat aktiviti yang menyeronokkan ketika berkurung dalam rumah. Jangan layankan sangat perasaan tertekan itu. Create new hobby. Antara hobi yang nia buat semasa #pkp ialah mewarna, membaca dan berkebun. Bila kita ada benda yang nak dibuat, kita takkan terasa terkurung sangat.

Kau orang punya pengalaman menghadapi #pkp macam mana pulak?



Sumber gambar: google.com

Friday, December 31

TADIKA: Poster PDPR 2020

Assalamualaikum semua :)

Semasa PKP1.0 sebelum ini, semua tadika tidak dibenarkan untuk beroperasi secara bersemuka. Maka ramai pengusaha yang mengambil inisiatif untuk meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran secara atas talian termasuklah pengurus tadika nia.

Makanya untuk menarik minat para pelajar bagi mengikuti kelas secara atas talian, pengurus suruh cikgu – cikgu buat poster untuk setiap kelas yang bakal dilakukan nanti.

Puas jugaklah nia perah otak untuk buat poster kelas ni sebab nia memang takde asas langsung dalam design poster. Biasanya nia akan tiru sedikit sebanyak melalui orang lain punya poster sahaja. Hahahaha

Jadi nia akan kongsikan beberapa poster dekat sini supaya boleh memberikan idea kepada orang lain.













Friday, September 17

TADIKA: Quran in Word, Mudahkan Kerja

Assalamualaikum semua :)

Seperti mana yang kau orang semua sudah sedia maklum, nia merupakan seorang guru tadika islam yang ada mengajar subjek hafazan dan juga mengaji al-quran. Sebagai seorang guru yang mengajar subjek al-quran, nia sangat menghargai kewujudan satu software yang diberi nama Quran in Word.

Kenapa?

Quran in Word ni sangat memudahkan kerja nia ketika mahu membuat lembaran aktiviti untuk para pelajar.

Sebelum nia mengetahui tentang kewujudan software ini, nia terpaksa taip satu demi satu huruf dan juga baris untuk membentuk ayat al-quran yang nia mahukan. Untuk taip satu ayat secara manual akan memakan masa sebanyak 5 hingga 10 minit. Bayangkan nia kena taip surah al-fatihah yang mengandungi tujuh ayat itu?

35 minit gaiss!

Berpinar mata menghadap laptop.

Dengan adanya Quran in Word ni, nia hanya perlu pilih dan tetapkan sahaja settings yang nia berkenan kemudian voila! Siap sudah surah yang nia inginkan. Walau ada berpuluh ayat sekalipun, sekejap sahaja masa yang diperlukan. 35 minit tu boleh dapat satu juzuk amma tau.

Sekiranya kau orang semua belum pernah menggunakan Quran in Word, bolehlah cuba sekarang. InsyaAllah, software ini akan memudahkan kerja kau orang semua juga sebagaimana ia memudahkan kerja Teacher Nia.

Nia ada letak link untuk dapatkan Quran in Word dekat bawah. Kalau link tu dah takde lagi, mohon jasa baik kau orang untuk bagitahu nia semula ye ;)

ADA DI SINI :)

DAN DI SINI :)


Sumber gambar: google.com

Friday, July 30

TADIKA: Aktiviti 2020

Assalamualaikum semua :)

Sebelum ini nia dah pernah post tentang aktiviti yang dilakukan bersama pelajar pada tahun 2020. Tapi sebenarnya post tu tak habis. Entah kenapa, video tak boleh dimasukkan sehingga enam ketul. Tiga ketul video sahaja yang lepas. Makanya terpaksalah nia pecahkan post tersebut kepada dua bahagian.

Ini adalah sambungannya yee :)

1 – Simulasi Haji


2 - Wang


Macam mana dengan perjalanan kau orang sebagai seorang guru tahun ini?


Sumber gambar: google.com

Friday, June 18

TADIKA: Aktiviti 2020

Assalamualaikum semua :)

Nia selalu sangat dapat pertanyaan daripada orang lain, apa aktiviti yang selalu dilakukan di tadika sebenarnya? Selain daripada membaca, mengaji, mengira, menghafal, makan, buang air.

Di bawah ini, nia ada sertakan beberapa video pelbagai aktiviti yang dilakukan oleh tadika nia pada tahun lepas iaitu tahun 2020.

1 – Big Book


2 – Fruitlicious Day

3 – Kibaran Jalur Gemilang

Bila nia tengok semula video – video ni, terasa rindu sangat dengan murid – murid nia.

Rindu nak mengajar.

Rindu nak gaduh dengan murid.

Rindu nak berkejar.

Rindu nak merajuk.

Rindu, rindu, rindu.

Betullah orang selalu cakap, bila ada depan mata menyakitkan hati tapi bila jauh dari mata tercari – cari.

Dasar manusia, tak reti nak menghargai orang yang ada depan mata. Itulah hakikatnya, ye tak?

Semoga keadaan pandemik ini akan beransur pulih dan kita semua sentiasa berada dalam lindungan Allah swt.


Sumber gambar: google.com

Friday, May 14

TADIKA: Alat Bantuan Mengajar (Games)

Assalamualaikum semua :)

Sebelum ini nia pernah bagitahu dengan kau orang semua bahawa nia akan kongsikan segala - gala ABM serta BBM yang nia buat dengan kau orang. Dan hari ini ialah harinya, woohoo!

Nia nak bagitahu awal - awal, hasil kerja nia sangatlah ringkas dan mungkin juga sedikit membosankan kerana tiada warna dan gambar doodle yang comel lotey. Nia masih lagi dalam proses belajar untuk menghasilkan ABM serta BBM yang canggih. Sekiranya kau orang rasa hasil kerja nia tak menarik, cantik dan kemas, nia mohon ampun sangat - sangat.

Untuk yang sudi mengambil hasil kerja nia, jangan lupa untuk kongsikan bersama dengan orang lain juga. Semoga semua mendapat manfaatnya :)

Untuk kali ini, nia akan kongsikan beberapa ABM berbentuk games dalam format powerpoint dengan kau orang semua. Klik sahaja link berwarna ungu di bawah. Pilihlah mana satu yang menjadi pujaan hati kau orang semua yeee :)

[Game Hafazan - Surah Al Mulk]

[Game Hafazan - Surah Al Kautsar]

[Game English - Spell It Right (SIR)]

[Game ABC - Find My Mommy]

Nia cuba untuk lebih fokus dalam menghasilkan lebih banyak ABM surah - surah lazim selepas ini sebab nia tahu sangat sukar untuk mendapatkan ABM subjek pendidikan islam, hafazan mahupun jawi. 

Cari ABM / BBM yang lain? [SILA TEKAN SINI]


Sumber gambar: google.com

Friday, April 23

DIARI GURU: Temuduga Tauliah JAIS

Assalamualaikum semua :)

Sebelum ni nia dah pernah cerita tentang ujian bertulis untuk permohonan tauliah mengajar JAIS kan? Nia ada sediakan link dekat bawah sekiranya kau orang terlepas entry tersebut ataupun sudah lupa mengenainya, HEHE

[TAULIAH MENGAJAR JAIS 1]

Hari ni nia akan berkongsi sambungan cerita permohonan tauliah mengajar JAIS di peringkat seterusnya iaitu ujian lisan ataupun dipanggil sebagai temuduga.

Untuk pengetahuan kau orang semua, ujian temuduga yang nia kena hadiri ni diadakan di bangunan majlis agama islam selangor (MAIS) yang terletak di shah alam. Bangunan MAIS berada bertentangan dengan pintu masjid shah alam nombor 8. Sekiranya kau orang bercadang nak menaiki teksi mahupun grab untuk ke sana daripada Ampang, anggaran tambang perjalanan satu halanya adalah RM41 – RM 43.

Masa hari temuduga tu, nia pergi sekali bersama abah dan adik dengan menaiki kereta sewa sebab kereta wira milik abah ada masalah. Jadi abah tak bagi bawak kereta tu, takut di tengah – tengah perjalanan nanti ada masalah pulak.

Ikutkan perancangan awal, nia sepatutnya pergi temuduga tu dengan pengurus nia. Tapi pada hari kejadian, pengurus tak dapat nak pergi temuduga disebabkan ada masalah yang tak dapat nak dielakkan. Jadinya nia pergi sendiri.

Nia dah keluar daripada rumah seawal pukul 6.30 pagi untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di lebuhraya nanti. Siapa yang tinggal ataupun bekerja di bandaraya Kuala Lumpur pastinya kau orang semua sudah sedia maklum dengan kesesakan di jalan raya sewaktu hari bekerja.

Jadinya nia keluar awal pagi untuk mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas seterusnya menyebabkan nia terlambat sampai ke tempat temuduga. Nia minta tolong adik untuk drive kereta sebab nia tengah ketar lutut memikirkan nak temuduga nanti, HAHAHAHAHAHAHA

Nasib baiklah adik faham.

Walaupun nia keluar awal pagi tetapi trafik tetap juga sesak. Kereta banyak sangat pagi tu terutama sekali kat kawasan sekolah. Tapi nia memang dah jangkakan keadaan trafik akan sesak pada pagi tu sebab hari sebelum tu nia dah cuba drive daripada rumah ke tempat temuduga. Nia nak dapatkan anggaran masa yang akan diambil untuk sampai ke destinasi.

Dalam pukul 730 pagi, nia dah sampai kat bangunan sultan aziz shah. Disebabkan kita orang sampai awal, nia ajak abah dengan adik untuk pergi sarapan dekat kafeteria berdekatan. Seorang pekerja pun takde lagi kat kafeteria, mungkin masing – masing belum sampai lagi agaknya.

Nia ambil mee goreng tapi baru tiga suap masuk mulut, nia dah tolak pinggan ke tepi. Bukan sebab nia takde selera tapi mee goreng tu manis! Masya Allah, putus terus selera makanku. Abah makan nasi goreng kampung, nia minta sikit sebab memang tak boleh nak telan mee goreng manis tu

Lepas makan, kita orang semua duduk dekat lobi. Masa tu anggaran pukul 745. Baru nak duduk bersantai – santai menghilangkan gemuruh tiba – tiba perut memulas pulak. Terus nia pergi tandas dan buang segala isi yang nak keluar daripada perut tu. (Ada yang muntah ke? Ampunnnnn)

Selepas buang air besar, nia pun naik ke tingkat 7 dengan ditemani adik. Cuak nak naik seorang – seorang, kenapa entah. Mengada kot, HAHAHA

Sampai tingkat 7 terus nia mendaftarkan diri untuk temuduga dekat kaunter pendaftaran. Nia serahkan sekali semua dokumen yang mereka perlukan iaitu borang, salinan ic dan sijil akademik yang telah disahkan. Macam biasa, kena turunkan tandatangan kat borang kedatangan dan pastikan segala butiran diri yang tercatat di situ adalah betul. Kalau ada ralat, bagitahu terus dengan pegawai yang bertugas.

Kemudian pegawai berikan nombor giliran dan dia minta nia untuk duduk dulu sementara menantikan kedatangan pegawai temuduga dan juga para peserta yang lain. Dan sejujurnya, penantian itu adalah satu penyeksaan ye tuan – tuan dan puan – puan.

Nak ulangkaji soalan temuduga, nia sendiri baru pertama kali ditemuduga untuk tauliah mengajar ni. Jadi tak boleh nak tebak soalan yang bakal ditanyakan nanti. Sudahnya nia menelinga sahaja perbualan peserta lain. Ada diajak berborak sama tapi nia takde hati nak turut serta.

“Cik Nia Emkay!”

Akhirnya, nama nia dipanggil. Tepat pukul sembilan sesi temuduga berlangsung dan nia merupakan peserta pertama untuk ditemuduga Laju nia angkat tangan dan menghampiri pegawai yang panggil nama tu. Dia suruh nia masuk dalam bilik temuduga.

Pintu bilik nia ketuk dan salam diberikan untuk panel temuduga di dalam. Nia duduk bertentangan dengan dua orang panel; dua – dua lelaki. Seorang nampak tegas, seorang lagi nampak santai. Panel suruh bagitahu nama, alamat dan kelayakan. Kemudian, bagitahu tujuan mohon tauliah.

Soalan – soalan yang ditanyakan oleh panel temuduga semuanya berkaitan dengan akidah seperti rukan islam, rukan iman, sifat 20, asmaul husna dsb. Kat bawah ni, nia sertakan sekali beberapa soalan yang nia ingat sewaktu ditanya oleh panel temuduga tempoh hari.


Soalan pertama: Anak dapat 3C dan nak jadi doctor, sebagai seorang pakar motivasi apa yang kita bagitahu?

Jawapan: kaitkan dengan percaya kepada qada’ dan qadar dan juga percaya kepada Allah.


Soalan kedua: Kalau tak pergi haji dan bayar zakat, lengkap tak rukun islam?

Jawapan: sah, pergi haji dan bayar zakat hanya untuk mereka yang berkemampuan.


Soalan ketiga: Sebutkan semua sifat 20. Kemudian, terangkan maksud beberapa sifat 20 yang disebut pihak panel secara rawak.

Jawapan: nia nyanyikan lagu sifat 20. Sifat 20 yang ditanya nia tak ingat, maaf.


Soalan keempat: Maksud qada’ dan qadar, Allah boleh tukar tak takdir yang telah ditetapkan?

Jawapan: qada’ dan qdar adalah ketentuan Allah swt dan ianya tidak boleh ditukar.


Soalan kelima: nyatakan maksud air mutlak dan muqayyad serta sebutkan perbezaannya. Macam nak jadikan air sirap kepada air mutlak?

Jawapan: air mutlak ialah air yang suci untuk digunakan. Air muqayyad ialah air yang bercampur dengan dengan sesuatu yang suci. Air mutlak boleh digunakan, air muqayyad tidak boleh. Suling air sirap menjadi air mineral untuk bertukar kepada air mutlak.


Setakat itu sahaja sesi temuduga nia dengan panel JAIS. Mereka pesan, keputusan temuduga akan diumumkan kemudian samada melalui panggilan telefon mahupun kiriman surat. Nia ucapkan terima kasih kepada panel dan terus keluar bilik dengan muka bangga dan senyum lega.

Kalau kau orang pun ada temuduga tauliah mengajar, nia sarankan datang awal. Biarlah kau orang menjadi orang yang pertama bersua muka dengan panel. Pagi – pagi, dia orang masih lagi segar dan belum penat mendengar jawapan peserta.

Pada saat nia menulis entry ini, nia sudahpun memiliki tauliah mengajar JAIS. Alhamdulillah, rezeki nia! Sekiranya nia boleh berjaya, kau orang pun pasti boleh berjaya juga. Nia doakan kau orang yang nak memohon tauliah mengajar ni agar dipermudahkan segala urusannya, amin.

Kalau ada apa – apa pertanyaan, kau orang boleh tuliskan dekat bahagian komen. InsyaAllah, nia akan menjawab pertanyaan kau orang semua. Cepat atau lambat jelah masalahnya, HEHEHE.

Alamat MAIS Shah Alam:  Tingkat 9 & 10, Menara Utara Bangunan Sultan Idris Shah, Seksyen 5, 40000 Shah Alam, Selangor

No Telefon:  03-5514 3762

Friday, March 19

TADIKA: Alat Bantuan Mengajar & Bahan Bantuan Mengajar

Assalamualaikum semua :)

Sebagai seorang guru tadika, nia sentiasa mencari idea - idea baru untuk menghasilkan alat bantuan mengajar (ABM) dan bahan bantuan mengajar (BBM) yang kreatif agar dapat menarik minat para pelajar. Setiap kali nak kerah idea untuk hasilkan ABM atau BBM, it makes you wonder why the heck did you chose this job over the other offer.

The struggle is real, I swear.

Semasa diawal - awal pembabitan nia dalam bidang pendidikan awal kanak - kanak, nia suka mengambil jalan pintas ataupun jalan mudah dalam pembuatan ABM mahupun BBM iaitu dengan membeli karya cikgu - cikgu yang lain. Sekiranya kau orang rajin mencari, dalam sosial media banyak cikgu - cikgu jual ABM dan BBM yang mereka sendiri buat dengan harga yang terlalu murah. Kadang tu sampai beratus fail mereka jual, hanya RM5.

Antara akaun yang pernah berurusan dengan nia ialah BBM Nafsiah, Kids Noise Studio, Bahan Prasekolah dan Ustaz Tarmizi Design. Nia ada sediakan link akaun facebook masing - masing di bawah sekiranya kau orang berminat nak menjengah untuk tengok - tengok atau jalan - jalan mencari idea.

Ada dua sebab nia memilih jalan pintas.

Satu, takde idea langsung macam mana nak hasilkan ABM ataupun BBM. Masa tahun pertama dulu memang tercengang - cengang nia tengok rakan cikgu yang lain buat ABM BBM pada hujung tahun. Walhal nia graduan Diploma in TESL kot, I used to make big book and stuff. Sepatutnya mestilah ada sipi - sipi idea yang muncul ting ting ting dalam fikiran, tapi hampaaaaaaaa!

Dua, malas nak buat. Kena pakai banyak tenaga dan mengambil banyak masa. Kerja - kerja menghasilkan ABM BBM ini sangat renyah dan payah ye tuan - tuan dan puan - puan. Siapa kata mudah, tolonglah ajar nia beberapa tips untuk buat ABM BBM dengan mudah. Selama 5 tahun berada dalam bidang pendidikan awal kanak - kanak ni, nia belum jumpa lagi dengan cara mudah melakukan ABM BBM.

Disebabkan fasa PKP, PKPP, PKPB dan sebagainya yang berlangsung di Selangor tempoh hari, nia mula berjinak - jinak menghasilkan ABM BBM sendiri. Hasilnya tidaklah secantik dan sekemas cikgu - cikgu lain tapi isinya ada, InsyaAllah. Nia akan letak segala ABM BBM yang dibuat dekat page ABM / BBM, jadi kalau ada yang kau orang berkenan silakan ambil. Sekiranya ABM BBM itu kau orang rasakan bagus, kongsikan dengan orang lain juga tau :)

Page ABM / BBM: [TEKAN SINI]

Facebook BBM Nafsiah: [SINI, SINI, SINI!]

Facebook Bahan Prasekolah: [SINI JUGA!]

Facebook Kids Noise Studio: [SINI SEKALI LAGI!]

Sumber gambar: google.com

Friday, February 19

TADIKA: Doa Harian Untuk Pelajar

Assalamualaikum semua :)

Setiap hari, nia dan rakan guru yang lain akan melakukan rutin pagi bersama – sama dengan pelajar tiga puluh minit sebelum proses pembelajaran dan pengajaran bermula.

Rutin pagi ini dilakukan supaya pelajar boleh mengumpulkan semangat sebelum masuk ke dalam kelas. Tak semua pelajar jenis masuk sekolah terus ceria gembira. Mesti ada pelajar yang masuk sekolah dengan tangisan. Kadang kala tu meraung menjerit kena paksa masuk sekolah oleh ibu bapa masing – masing.

Jadi dengan melakukan rutin pagi, guru – guru boleh mengubah haluan perasaan pelajar daripada muram dan sedih kepada seronok dan gembira.

Selain daripada itu, rutin pagi ini juga boleh menjadi amalan harian setiap pelajar.



Kebiasannya rutin pagi dimulai dengan bacaan Asmaul, bacaan selawat, bacaan istighfar, bacaan zikir dan juga bacaan doa – doa harian. Selesai sahaja bacaan – bacaan tersebut, guru – guru boleh selitkan dengan ucapan selamat, tema mingguan / bulanan, tanya hari dan bulan, dsb.

Untuk kali ini, nia akan kongsikan video untuk beberapa doa yang kebiasaannya dibaca oleh pelajar dan guru ketika rutin pagi.

Doa Dhuha – UNIC


Doa Iman – UNIC



Doa Rabitah – UNIC



Doa Tilawah – The Helmi



Doa Taubat – UNIC



Doa Sihat Tubuh Badan



Doa Menghindar Dari Kesusahan – UNIC



Doa untuk Ibubapa - Raqib Majid



Nota kaki: kalau ada pautan video yang tak boleh dimainkan, tolong maklumkan nia di ruangan komen tau :)

Sumber video: youtube.com
Sumber gambar: google.com

Friday, December 25

PARENTING: Anak Buat Kerja Rumah, Dera atau Ajar?

Assalamualaikum semua :)

Ada ke diantara pembaca blog nia ni yang selalu ajak anak – anak untuk sama – sama membuat kerja rumah?

Lipat baju.

Angkat pakaian.

Sapu rumah.

Mop lantai.

Kemas meja makan.

Cuci tingkap.

Basuh pinggan.

Sidai pakaian.

Sarung cadar.

Cuci kereta.

Ada tak suara – suara sumbang yang berbunyi mengatakan kau orang semua ni mendera anak – anak terutamanya anak yang masih kecil sebab suruh dia orang buat macam – macam kerja rumah?

Sebenarnya, suruh anak – anak buat kerja rumah ni mendera ke mengajar?

Pandangan nia, menyuruh anak – anak buat kerja rumah adalah salah satu proses mengajar.

Ajarlah anak – anak kau orang untuk buat kerja rumah sejak dia orang kecil lagi supaya dia orang tahu dan terbiasa dengan amalan tersebut. Jadi bila dia orang berada dimana – mana sekalipun, insyaAllah, dia orang boleh jaga diri sendiri. Takdelah nak mengharapkan ibubapa juga untuk mengemaskan rumah sendiri.

Malahan di tadika nia sendiri, kita orang ada ajar pelajar untuk buat kerja – kerja rumah yang asas.

Bersihkan tempat makan sekiranya ada makanan yang bersepah.

Lap dengan kain jika ada makanan atau minuman yang tumpah.

Pinggan, mangkuk, cawan dan sudu yang sudah digunakan mesti letak dalam sinki.

Sapu kelas selepas sesi pembelajaran.

Bersihkan tandas selepas digunakan.

Lipat baju kotor dan tuala.

Susun bantal.

Lipat tikar dan sejadah.

Kalau diberitahu pada ibubapa tentang perkara ini, reaksi yang diterima adalah pelbagai. Ada ibubapa yang sokong tetapi ada juga yang membantah.

Ibubapa menyokong sebab katanya di rumah pun anak – anak amalkan perkara yang sama. Tambah mereka lagi, apa yang diajarkan itu juga satu benda yang baik untuk anak – anak sebab itu mereka menyokong.

Untuk yang membantah pula, mereka kata anak – anak mereka masih terlalu kecil untuk buat semua benda tu. Kalau cikgu ada kudrat untuk buat semua tu, kenapa nak harapkan anak kecil?

Di tadika, semua pelajar dilayan sama rata.

Kalau pelajar seawal usia 3 atau 4 tahun boleh buat, takkan yang lain – lain nak berikan alasan kan?

Jadi walaupun ibubapa membantah, cikgu – cikgu tetap lakukannya sebab tak nak menampakkan pada pelajar lain yang kami memilih pelajar.

Lagi satu, bolehkah kita pastikan kita akan bersama dengan anak – anak sehingga mereka melangkah dewasa?

Takde satu jaminan pun untuk perkara tersebut.

Jadi, ajarlah anak – anak untuk membuat kerja rumah.

Biar sedikit.

Biar perlahan.

Janji mereka belajar.

Satu hari nanti, mereka juga yang senang.

:)


Sumber gambar: google.com

Ping Banner

 
Copyright © 2019 Nia Emkay. All Rights Reserved. Designed by Cik Nurfarah.