Showing posts with label travelog. Show all posts
Showing posts with label travelog. Show all posts

Friday, April 29

FAMILY: Travelog Ibuku Sayang – Petanda Terakhir

Assalamualaikum semua :)

Okey, nia akan sambung kembali travelog ibuku sayang.

Sehari sebelum ibu menghembuskan nafas yang terakhir, nia dan adik ada pergi ke hospital untuk melawat sebagaimana kebiasaannya pada minggu – minggu sebelum itu juga. Itu memang rutin mingguan nia; melawat ibu di hospital walaupun ibu melarang sebab ibu tak nak nia penat. Terpaksa berulang – alik ke hospital walaupun sedang menyambung pelajaran ke peringkat diploma.

Waktu nia dan adik sampai ke hospital, petugas dapur sedang memberikan makanan tengah hari kepada pesakit dari katil ke katil. Bila ibu dapat makanan, ibu bagi dekat adik lepas tu ibu buat isyarat suruh kongsi makan berdua dengan nia. Ya, masa ni ibu dah tak boleh nak bercakap sebab tekak ibu dah mula sempit. Kalau ibu nak minta apa – apa, ibu akan tulis dekat buku. Takpun ibu buat bahasa isyarat.

Kita orang berdua pun tak banyak cakap, terus makan makanan tu sebab masing – masing lapar. Belum sempat makan tengah hari lagi sebelum datang ke hospital. Masa nia dengan adik tengah makan, ibu renung muka kita orang adik beradik lama – lama sambil tersenyum. Pandangan ibu masa tu redup dan sayu sahaja, seolah – olah ibu tahu bahawa itulah kali terakhir ibu dapat tatap wajah kami berdua.

Balik dari hospital hari tu, tiba – tiba nia terlanggarkan pagar rumah dengan motor sampai runtuhlah pagar tu sebelah. Adik yang baru masuk rumah masa tu terus berlari keluar tengok nia. Orang kedai sebelah rumah ni pun datang tolong angkatkan motor nia. Allahu Akhbar, tak pernah – pernah langgar pagar sepanjang bawak motor itulah kali pertama langgar pagar. Sampai runtuh pulak tu!

Masa nia langgar pagar rumah tu, terus terbayang muka ibu dalam kepala. Masa tu nia tak faham sangat jadi nia abaikan sahaja. Terus bersiap – siap dan berkemas untuk balik ke asrama. Langsung tak teringat nak telefon abah tanya mengenai keadaan ibu ataupun bercerita tentang pagar rumah yang dah runtuh tu.

Beberapa minggu selepas ibu meninggal, nia ada bercerita dengan abah tentang pagar runtuh sebelah tu. Abah bagitahu, itu mungkin petunjuk daripada Allah nak bagitahu bahawa nia akan kehilangan tempat bergantung iaitu ibu.

Setakat ini sahaja perkongsian nia untuk travelog ibuku sayang kali ini. Sampai berjumpa lagi semua :)

Nia mohon jasa baik semua untuk hadiahkan bacaan surah alfatihah kepada ibu nia, Saniah binti Sani. Terima kasih semua.



BOLEH BACA TRAVELOG IBUKU SAYANG DI SINI :)

Friday, October 8

FAMILY: Travelog Ibuku Sayang – Semakin Teruk

Assalamualaikum semua :)

Nia akan kongsikan sambungan cerita dalam Travelog Ibuku Sayang yang seterusnya dengan kau orang semua. Minta maaf sangat – sangat sebab nia ambil masa yang lama untuk menyiapkan travelog ini.


Ketika bulan enam, nia mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran di Kolej Poly Tech Mara Kuala Lumpur. Mereka tawarkan Diploma in Teaching English as a Second Language (TESL). Nia teruja sangat apabila dapat tawaran tersebut sebab yelah, kawan – kawan lain semua dah masuk matrikulasi dan universiti untuk menyambung pelajaran masing – masing. Nia sahaja yang masih tercari – cari peluang untuk sambung belajar.

Tetapi dalam masa yang sama nia risaukan ibu.

Mulanya nia ingat nak tolak sahaja tawaran tersebut sebab ibu masih warded ketika itu dan keadaan ibu masih lagi tidak menunjukkan sebarang perubahan positif tetapi abah halang nia. Abah kata dah dapat tawaran sambung belajar tu, terima sahaja. Jangan fikirkan tentang ibu. Biar abah yang jaga ibu.

Jadi nia pun bulatkan tekad untuk menyambung pelajaran di KPTMKL. Dalam surat tawaran tersebut dia orang bagitahu nia diberikan pilihan samada mahu tinggal di asrama yang mereka sediakan ataupun mahu menyewa diluar. Perancangan nia mahu tinggal dirumah sahaja sebab jarak antara rumah dengan kolej sangat dekat. Kalau menunggang motosikal, hanya mengambil masa sepuluh minit sahaja untuk sampai.

Tapi ibu halang.

Ibu kata, ambillah kesempatan ini untuk merasai pengalaman duduk di asrama sebab nia daripada sekolah rendah sehingga mahu masuk ke kolej tidak pernah dapat merasai pengalaman tersebut. Berbeza dengan along dan juga adik. Masing – masing berpeluang duduk di asrama semasa masih berada di sekolah menengah.

Walaupun berat hati mahu tinggal di asrama tetapi nia turutkan sahaja kata – kata ibu. Nia teliti senarai keperluan barang yang diberikan berulang kali. Disebabkan ini merupakan kali pertama nia perlu tinggal di asrama, nia jadi buntu memikirkan barang apa yang perlu dibawa. Mujur ada along yang turut sama menolong.

Tiba masanya untuk daftar masuk kolej.

Bila nia menjejakkan kaki ke kawasan perkarangan kolej, terasa lain sangat. Kebiasaannya ada ibu dan abah disisi nia tetapi pada hari tersebut nia berseorangan sahaja. Terngiang – ngiang di pendengaran nia suara ibu memarahi nia sebab takut nak membuat urusan sendiri.

“Sampai bila nak bergantung dengan ibu ni, angah?”

Nah, hari ini nia terpaksa membuat semuanya sendiri tanpa bantuan ibu mahupun abah. Sebak dada bila melihat orang lain ditemani ibubapa tetapi nia sendirian sahaja di situ. Tapi nia kuatkan semangat. Cukuplah selama ini bergantung dengan ibu dan abah, untuk sehari ini cuba belajar jadi berani.

Selesai urusan pendaftaran masuk kolej serta asrama, kami sekeluarga keluar makan bersama – sama di pizza hut. Meraikan nia masuk kolej sambil meluangkan masa bersama – sama. Sewaktu orang lain menjamah makanan dengan penuh selera, ibu hanya memerhati dan hanya sesekali sahaja ibu menyuap makanan ke dalam mulut. Tak ada selera, kata ibu.

Sewaktu mahu pulang, tiba – tiba sahaja ibu terjatuh di tangga pizza hut. Mujur ada abah dan adik yang segera menahan badan ibu daripada terjatuh. Kalau tidak, mungkin ada bahagian badan lain yang bakal cedera.

Sebulan kemudian, kesihatan ibu semakin merosot. Ibu hanya terbaring di atas katil, langsung tidak mampu untuk bangun apatah lagi berjalan. Sepanjang waktu itu, abah yang menjaga ibu sepenuh masa dengan mengambil cuti tanpa gaji.

Mahu mengharapkan kami adik – beradik, tidak boleh. Along belajar di perak. Nia di KPTM. Adik pula di smk segambut jaya. Masing – masing hanya boleh datang menjenguk ibu di hospital semasa hujung minggu sahaja. Masa itu jugalah kami akan mengambil alih tugas abah untuk menjaga ibu. Bolehlah abah berehat dan membersihkan diri.

Tetapi itupun ibu kata tak payah datang jenguk. Rehat sahaja di rumah. Masing – masing penat belajar. Ibu kan? Dalam keadaan yang sedang sakit pun, masih lagi memikirkan anak – anaknya.

Sampai sini sahaja untuk bahagian kali ini. Kisah seterusnya nia akan sambung kemudian yee.

Nia nak minta tolong kau orang semua hadiahkan bacaan alfatihah kepada arwah ibu, Saniah binti Sani.


Terima kasih sudi hadiahkan bacaan alfatihah pada ibu nia :)

Terlepas bahagian yang lepas? ADA DEKAT SINI

Sumber gambar: google.com

Friday, July 16

FAMILY: Travelog Ibuku Sayang – Duduk Hospital

Assalamualaikum semua :)

Bahagian kali ni nia akan ceritakan pengalaman nia menjaga ibu di hospital.

Masa dapat tahu kaki ibu sakit dan memerlukan pantauan daripada doktor, abah minta nia tolong jagakan ibu sebab abah tak boleh nak ambil cuti selalu. Nanti gaji kena potong.

Tambahan pula, abah merupakan ketua keluarga. Semua perbelanjaan datang daripada gaji abah. Sekiranya gaji abah kena potong, banyak benda yang tertunggak dan tidak dapat dilunaskan bayarannya nanti.

Jadi nia pun tulis surat berhenti kerja dan serahkan kepada pengurus tempat kerja. Pengurus harapkan nia dapat bekerja lebih lama dengan syarikat mereka tetapi dia faham dengan situasi yang nia tengah alami.

Selama sebulan nia bekerja sebagai juruwang dekat situ, Alhamdulillah, ada ilmu baru yang nia pelajari. Pengalaman manis dan pahit yang nia hadapi semasa bekerja di situ bila diingat – ingat semula mampu membuat nia tersenyum sendiri.

Selepas nia berhenti kerja, ibu seringkali ulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Doktor bagitahu, antibody ibu telah bertukar menjadi virus dan akibatnya dia serang semua sel baik yang berada dalam badan.

Jadinya, doktor bagi ibu makan ubat steroid untuk melawan penyakit tersebut tetapi kaki ibu jadi lemah disebabkan ubat tersebut. Setiap kali duduk ataupun mencangkung, kena ada orang lain yang tolong angkat ibu supaya boleh berdiri semula.

Sekiranya nak berjalan ke mana – mana, ibu perlu pakai kerusi roda sebab kaki tak kuat sangat kan. Kadang – kadang tu dalam elok berjalan pun ibu boleh jatuh tiba – tiba. Tapi itulah, ibu tak nak pakai kerusi roda sebab malu dengan pandangan orang lain. Ibu kata, mesti dia orang cakap kesiannya muda – muda lagi dah pakai kerusi roda.

Allahu Akhbar, sampai macam tu sekali fikiran ibu.

Perasaan ibu semasa sakit jadi sensitif sangat, kalau kau orang semua nak tahu. Mudah tersentuh hati walaupun pada pandangan nia benda tu sebenarnya remeh sahaja. Jadi kalau ahli keluarga kau orang semua ada yang sakit, jagalah perasaan mereka. Banyakkan bersabar dengan perubahan emosi dia orang.

Walaupun ibu tak nak pakai kerusi roda apabila berjalan di luar tetapi kita orang tetap juga bawak kerusi roda. Bila ibu dah tak larat nak berjalan lagi, kita orang akan suruh ibu duduk di kerusi roda dan kita orang akan tolak. Sebolehnya kita orang akan pergi ke tempat – tempat yang kurang orang sebab faham dengan ketidakselesaan ibu.

Bila ibu dah duduk di wad, macam – macam ujian yang doktor buat. Setiap hari ada sahaja jururawat yang datang untuk mengambil sampel darah dan najis. Sampai bengkaklah tangan ibu. Terus nia bersuara, tangan ibu saya ni dah bengkak berhentilah dulu ambil sampel darah. Sakit tahu tak? Barulah dia berhenti ambil sampel darah.

Itu belum lagi cerita layanan yang diberikan oleh petugas kesihatan di hospital terbabit. Ada diantara mereka melayan pesakit dengan dingin dan kasar. Yelah, nia faham. Dia orang kena hadap berpuluh malahan beratus pesakit setiap hari. Tapi janganlah layan orang sakit dengan separuh hati.

Ibu pun nasib baik ada nia untuk teman. Jadinya ibu banyak bergantung dengan nia kalau nak buat apa – apa. Bayangkan ibu sendirian. Dahlah kaki tak kuat, kena pulak hadap semua tu sendirian. Boleh jadi tertekan tau.

Bukan nak kata semua jururawat tu perangainya serupa, tak.

Hanya segelintir sahaja.

Tapi macam orang cakaplah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Hmmm

Anyway guys, sampai sini sahaja dulu untuk bahagian kali ini.

Terlepas bahagian yang lepas? ADA DEKAT SINI



Friday, April 30

FAMILY: Travelog Ibuku Sayang – Punca Sakit

Assalamualaikum semua :)

Untuk bahagian kali ni, nia akan ceritakan kepada kau orang punca sebenar arwah ibu sakit dan terpaksa ditahan wad.

Sakit ibu berpunca dengan luka di kaki.

Kita orang ingatkan luka tu biasa – biasa sahaja, jadi kita orang pun basuhlah luka tu macam biasa dan letakkan minyak gamat dengan harapan luka tersebut akan sembuh setelah beberapa hari.

Tetapi setelah masuk satu minggu, luka dekat kaki ibu tu tak juga sembuh

Kita orang tunggu seminggu sebab ibu ada penyakit kencing manis, jadi biasanya kalau ada luka memang ambil masa untuk sembuh.

Jadi abah pun bawak ibu pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan lanjut. Bila doktor tengok luka di kaki ibu, doktor berikan krim luka untuk disapukan pada sekitar luka tersebut.

Balik sahaja daripada klinik, abah pun bersihkan luka kat kaki ibu kemudian abah sapukan pula krim tersebut di sekitar luka.

Selepas satu minggu, luka di kaki tu mula timbul putih – putih. Kita orang ingatkan nanah tapi bila dikorek dan dicium benda putih itu, takde pulak bau nanah.

Yes, kita orang korek benda tu dan cium sebab nak pastikan benda tu nanah ke bukan. Nak ikutkan ibu tak bagi kita orang buat macam tu sebab takut kita orang rasa geli. Tapi kita orang cakap dengan ibu takpe, kita orang tak geli.

Tapi ibu rasa tak selesa bila tengok benda putih tu semakin banyak dan menjadi besar dekat kaki. Jadi ibu pun ajak abah untuk pergi ke hospital. Lagipun masa ni dekat kawasan luka tu dah mula sakit berdenyut – denyut.

Jadi abah pun bawaklah ibu pergi ke hospital untuk dapatkan rawatan susulan.

Bila sampai kat hospital, abah ambilkan nombor. Kemudian bila nombor giliran dipanggil, abah dan ibu terus masuk ke dalam bilik doktor untuk dapatkan konsultasi. Bila doktor tanya kenapa, abah pun ceritalah segalanya dari A sampai Z.

Doktor tu periksa luka kat kaki ibu. Kemudian dia tanya nama krim yang ibu pakai tapi abah dengan ibu tak ingat nama. Doktor tu tanya warna bekas krim, abah pun bagitahu warnanya.

Lepas tu doktor cakap, “patutnya untuk luka macam ni tak boleh pakai krim tu, nanti luka akan jadi lebih teruk.”

Terpempan abah dengan ibu dalam bilik doktor tu.

Abah tengok ibu.

Ibu tengok abah.

Dua – dua takde ilmu dalam bidang medik, jadi manalah dia orang tahu krim tu sesuai untuk dipakai ataupun tidak. Dia orang hanya turutkan kata doktor sahaja. Lama kemudian baru abah bersuara tanya doktor macam mana nak rawat luka ibu sekarang.

Doktor tu cadangkan pada abah supaya ibu dimasukkan ke dalam wad untuk rawatan selanjutnya sebab dia orang nak kaji dulu benda putih yang ada kat kaki ibu tu apa. Kemudian baru dia orang boleh rangka rawatan apa yang sesuai untuk ibu dapatkan.

*                                   *                                   *                                   *                                   *

Sampai sini dulu ye untuk bahagian kali ni :)

Nia nak minta kau orang semua yang beragama Islam untuk sedekahkan bacaan alfatihah bagi arwah ibu nia, Saniah bt Sani.

Semoga arwah ibu ditempatkan dalam golongan orang – orang yang beriman, amin.

Terlepas bahagian yang lepas? ADA DEKAT SINI

Friday, November 6

FAMILY: Travelog Ibuku Sayang - Pengenalan

Assalamualaikum semua :)

Lama sangat masa yang nia ambil untuk betul – betul tenangkan diri dan jiwa sebelum menulis Travelog Ibuku Sayang ini.

Tujuan nia menulis travelog ini untuk berkongsi pengalaman nia bersama dengan arwah ibu semasa sakit sehinggalah nafasnya terakhir. Dan nia juga berharap agar travelog ini boleh menjadi satu bahan rujukan serta motivasi kepada mereka diluar sana yang turut sama melalui pengalaman seperti nia.

Travelog Ibuku Sayang ini nia akan pecahkan kepada beberapa bahagian sebab tak nak satu – satu entry tu menjadi terlalu panjang. Nanti bosan pulak kau orang nak baca.

Lagi satu, bagi memudahkan kau orang semua mencari travelog ni, nia akan letakkan semua entry berkaitan dengan Travelog Ibuku Sayang pada bahagian review. Kau orang cuma perlu tekan butang hijau bertulis review dekat sidebar sebelah kanan blog ni.

Jadi untuk bahagian pertama ni, marilah berkenalan dengan ahli keluarga nia terlebih dahulu :)

Ahli keluarga nia terdiri daripada lima orang kesemuanya termasuk diri nia sendiri. Abah, ibu, along, nia dan juga adik.

Abah.

Nama abah ialah Abd Malek. Abah dilahirkan dan juga dibesarkan di Melaka. Selepas menamatkan pelajaran di peringkat sekolah menengah, abah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan.

Ibu.

Nama ibu ialah Saniah. Seperti abah, ibu lahir dan dibesarkan di Melaka. Ibu berhijrah ke Kuala Lumpur selepas berkahwin dengan abah. Sebelum ibu ke Kuala Lumpur, ibu mencari rezeki di sebuah kilang. Ketika di Kuala Lumpur, ibu bekerja dari rumah sebagai tukang jahit.

Along.

Nama along ialah Farah Afiqah. Along dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Mendapat pendidikan terakhir di UiTM Seri Iskandar, Perak. Sudahpun mendirikan rumah tangga dan mempunyai seorang anak perempuan yang diberi nama Maryam.

Nia.

Nama nia ialah Nurul Hawadah. Nia dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Bekerja sebagai guru tadika dan masih lagi bujang. Mendapat pendidikan terakhir di KPTM KL.

Adik.

Nama adik ialah Ahmad Ashraaf. Adik dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Mendapat pendidikan terakhir di UiTM Jengka, Pahang. Bekerja sebagai jurugambar bebas dan masih lagi bujang.


Inilah keluarga nia.

Keluarga nia sama sahaja dengan keluarga orang lain.

Ada hari, kami bergelak ketawa.

Ada hari, kami bertengkar.

Ada hari, kami berpelukan mesra.

Ada hari, kami bercakaran sesama sendiri.

Tetapi itulah yang menjadikan hari – hari kami semua penuh dengan kenangan dan warna – warni kehidupan. Mana ada keluarga yang sentiasa bahagia tanpa ada badai yang melanda kan?

Terlepas bahagian yang lepas? ADA DEKAT SINI

Ping Banner

 
Copyright © 2019 Nia Emkay. All Rights Reserved. Designed by Cik Nurfarah.